Exco Pertanian belum dilantik Lembaga Pengarah KADA

Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan mempertahankan hubungan baik dengan Kerajaan Pusat sejak era Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga sekarang.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, hubungan kerajaan kepada kerajaan (G to G) negeri-Pusat berjalan baik.

Bagaimanapun, katanya ia agak berbeza sedikit apabila menyentuh isu berkaitan politik. 

“Saya sebut kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa politik itu hanya ketika pilihan raya sahaja, selepas itu perlu ada hubungan baik.

“Sebab itulah anggota Exco, wakil rakyat dan pegawai kerajaan hendaklah sentiasa mengadakan kerjasama erat dengan agensi kerajaan Persekutuan,” katanya menjawab soalan Mohamad Nasriff Daud (PAS-Pengkalan Pasir) pada sidang DUN hari ini.

Menteri Besar berkata, hubungan baik negeri-Pusat berasaskan Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan di bawah Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama.

Menurutnya, kerajaan Kelantan mengamalkan pendekatan matang dan sejahtera yang diterap dalam pentadbiran sejak era Tok Guru Nik Aziz dan disambung Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dan diteruskan sehingga sekarang.

“Hubungan baik negeri-Pusat atas prinsip semangat federalisme demi kepentingan negeri dan rakyat. Ia berasas tolong menolong dalam perkara kebaikan,” ujarnya.

Menjawab soalan tambahan Mohd Rusli Abdullah (PAS-Wakaf Bharu) katanya, kerajaan negeri menerima cadangan daripada ketua pengarah jabatan kerajaan Pusat berkaitan pelantikan pengarah agensi terbabit di Kelantan.

Katanya, pencalonan pengarah beberapa jabatan peringkat negeri sudah diterima antaranya Jabatan Perhutanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Jabatan Pengairan dan Saliran.

“Calon-calon dikemuka terbabit sedang diteliti kerajaan negeri. Kita perlu pastikan beberapa kriteria termasuk pegawai berintegriti tinggi, berpengalaman dan anak Kelantan.

“Pemilihan itu penting bagi memastikan mereka mempunyai semangat tinggi bagi melaksanakan dasar-dasar kerajaan negeri,” katanya.

Bagaimanapun Bahari Mohamad Nor (Bersatu-Gual Ipoh) ketika mencelah meminta kerajaan Pusat memberi ruang wakil-wakil rakyat terbabit sama dalam pembangunan di bawah kendalian FELCRA, FELDA dan KADA.

Kata beliau, beri ruang pelantikan atau perbincangan sama rata bagi melaksanakan pembangunan untuk manfaat rakyat di Kelantan.

Menjawab isu tersebut Menteri Besar berkata, wakil-wakil kerajaan negeri yang belum dilantik sebagai Lembaga Pengarah agensi Pusat diharap dapat diselesaikan dengan baik.

Sementara itu, Exco Pertanian, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail turut memberitahu beliau belum lagi dilantik sebagai ahli Lembaga KADA sehingga sekarang.

KADA merupakan agensi kerajaan Pusat dipengerusikan pemimpin Amanah Kelantan, Mohamad Hussin. Berdasar laman rasmi KADA sepatutnya mempunyai sembilan Lembaga Pengarah, namun seorang lagi belum dilantik. – HARAKAHDAILY 6/6/2024

- Advertisement -