Enam MP lompat: Speaker wajib isytihar kekosongan

- Advertisement -

HANGAT mutakhir ini perbincangan mengenai kedudukan enam Ahli Parlimen BERSATU sama ada mereka masih kekal sebagai Ahli Parlimen atau tidak setelah mereka didapati tidak mengikuti arahan whip parti mereka. Kawasan 6 Parlimen yang terlibat ialah Bukit Gantang, Jeli, Gua Musang, Kuala Kangsar, Labuan dan Tanjong Karang.

Isu ini timbul setelah Perhimpunan Agung Khas (EGM) BERSATU pada 2 Mac lalu memasukkan tambahan Fasal 10.4 ke dalam Perlembagaan BERSATU yang memperuntukkan mana-mana wakil rakyat BERSATU yang melakukan ketidakpatuhan terhadap apa-apa arahan yang dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) disifatkan terhenti keahliannya daripada parti itu secara serta-merta.

Pindaan Perlembagaan BERSATU ini pula mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) di mana surat Pendaftar Pertubuhan, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad menyatakan, berdasarkan Akta Pertubuhan 1966, ia boleh dikuatkuasakan mulai 1 April 2024.

- Advertisement -

Sehubungan itu, hujah BERSATU ialah mengikut Perkara 49A (1) Perlembagaan Persekutuan yang dikuatkuasakan oleh Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) pada tahun 2022 menjadikan enam kerusi Ahli Parlimen terbabit telah kosong kerana mereka dikira tidak lagi menjadi anggota BERSATU.

Lanjutan itu semua pihak kini bercakap mengenai kuasa mutlak Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk menentukan sama ada kekosongan itu benar-benar berlaku atau tidak selaras dengan peruntukan Perkara 49A (3) yang menyebut: “Bilamana Yang di-Pertua menerima notis bertulis daripada mana-mana ahli Dewan Rakyat mengenai berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat di bawah Perkara ini, Yang di-Pertua hendaklah memastikan bahawa berlakunya kekosongan luar jangka itu dan memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sewajarnya dalam tempoh 21 hari dari tarikh dia menerima notis bertulis itu.”

Ada juga komentar di media yang menyatakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat perlu membuat tafsiran kerana Perkara 49A (1) “ada kelompongan dan tidak begitu jelas”, bertanyakan tentang apakah maksud “tidak lagi menjadi anggota parti politik itu” atau “perlucutan dan pemecatan itu seolah-olah sama sahaja kesannya”.

Perkara 49A (1) ini menyebut: “Seseorang ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan itu dan kerusinya hendaklah menjadi kosong… jika— setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik— dia melepaskan keanggotaan parti politik itu (he resigns as a member of the political party); atau dia tidak lagi menjadi anggota parti politik itu (he ceases to be a member of the political party)…”

Secara kebetulannya tesis doktor falsafah saya dari University of Bonn, German, pada tahun 2020 mengkaji peranan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, khasnya mengenai tahap kebebasan beliau dalam menentukan sesuatu keadaan yang kompleks menggunakan budi bicara atau ‘discretion’. Dalam konteks ini peranan beliau amat besar dan keputusan beliau akan memberi impak yang besar dalam sejarah politik Malaysia.

Penyiapan tesis saya memerlukan saya mengkaji Penyata Rasmi Dewan Rakyat bagi membolehkan saya mendapat maklumat tepat mengenai apa yang sebenarnya berlaku dalam perbahasan sesuatu rang undang-undang. Oleh itu, sebarang ulasan yang akan dilakukan ke atas Perkara 49A perlu merujuk kepada perbahasan dan peranan Yang di-Pertua Dewan Rakyat sewaktu ia diluluskan pada 28 Julai 2022.

Meneliti Penyata Rasmi Dewan Rakyat pada 28 Julai 2022, saya dapati terdapat pertanyaan dan jawapan diberikan ke atas peruntukan mengenai “tidak lagi menjadi anggota parti politik itu”.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dalam sesi penggulungan beliau menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh sepuluh Ahli Parlimen dari Pontian, Seremban, Pasir Mas, Kuala Krai, Jerlun, Sepanggar, Lubok Antu, Setiawangsa, Dungun dan Machang mengenai situasi sekiranya seseorang Ahli Dewan Rakyat mempunyai prinsip yang bertentangan dengan prinsip parti politik yang diwakilinya.

Wan Junaidi berkata, “Sekiranya seorang Ahli Dewan Rakyat mempunyai prinsip yang bertentangan dengan prinsip parti dan menyebabkan keahlian beliau digugurkan berdasarkan perlembagaan parti itu — ceases to be member — maka Ahli Dewan Rakyat tersebut dianggap telah bertukar parti dan perlu mengosongkan kerusinya.”

Tambah beliau: “Ini adalah sekiranya perlembagaan parti politiknya memperuntukkan bahawa perbuatan Ahli Dewan Rakyat tersebut yang tidak mengikut prinsip parti melanggar arahan whip, akan terjumlah kepada beliau tidak lagi menjadi anggota parti politik, ceases to be a member, tersebut dengan sendirinya. Merujuk kepada perkara ini, perlembagaan sesuatu politik menentukan tindakan terhadap Ahli Dewan Rakyat tersebut. Oleh itu, terdapat keperluan untuk pindaan dilaksanakan terhadap perlembagaan satu-satu parti politik yang memastikan ia selaras dengan rang undang-undang ini.”

Dalam perbahasan tersebut, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail [Kulim-Bandar Baharu] bertanyakan soalan yang berbunyi “Seorang Ahli Parlimen yang membuat keputusan di dalam Parlimen yang bertentangan dengan keputusan Whip Party-nya, maknanya mengikut rang undang-undang kita ini, seorang anggota itu tidak dianggap sebagai hopping atau melompat kecuali perlembagaan partinya itu ada tercatat perbuatan seperti itu dianggap keahliannya tergugur dengan sendiri, barulah dia masuk dalam kategori hopping. “Am I right?” Wan Junaidi menjawab “Ya, betul”.

Ahli Parlimen Shah Alam Tuan Khalid Abd Samad juga bertanyakan soalan memerlukan kepastian yang berbunyi “Ini bererti bahawa semua parti politik mesti menentukan bahawa dalam perlembagaannya ada klausa-klausa yang jelas yang mengatakan kalau Ahli Parlimen ambil tindakan sekian-sekian, maka dengan sendirinya gugur. So, we must have that with our constitution supaya dia akan gugur secara automatik dan dengan itu dia hilang kerusi dia kerana kalau dia dipecat, dia tidak hilang kerusinya. So, our constitution must be clear on this. Is that right?” Wan Junaidi menjawab “Right”.

Berdasarkan perbahasan dan persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh beberapa Ahli Parlimen tersebut, maka sebenarnya tiada yang kabur dalam Perkara 49A ini. Semoga keputusan yang bakal dibuat oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat nanti adalah bertepatan dengan matlamat yang difahami dan dipersetujui bersama sewaktu ia diluluskan demi kestabilan negara. Jika tidak maka politiking tidak berkesudahan akan terus berlaku di mana ini boleh membuka jalan kepada Ahli-Ahli Parlimen daripada parti-parti lain pula untuk membuat perkara sama dan mengganggu urusan pentadbiran negara. – HARAKAHDAILY 6/6/2024

Penulis adalah Felo Bersekutu di Institut Hubungan Antarabangsa dan Diplomasi Asia (AIIAD) dan juga merupakan Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -