DUPP kesal isu bantah Bahasa Melayu di sekolah Pulau Pinang 

Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) kesal dengan isu bantahan pelaksanaan satu kelas bahasa pengantar menggunakan Bahasa Melayu oleh Lembaga Sekolah dan PIBG daripada 11 buah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina SM (C) di Pulau Pinang baru-baru ini.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, perkara ini seolah-olah Bahasa Melayu tidak ada nilai untuk dijadikan bahasa pengantar dalam institusi pendidikan sekarang ini. 

- Advertisement -

“Bantahan tersebut menggambarkan betapa jauhnya masyarakat dalam kemajmukan bangsa dan etnik ini merintis jalan membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu selepas lebih 60 tahun merdeka. 

“Sewajarnya tidak timbul bantahan sedemikian kerana syarat pelaksanaan kelas Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar adalah langkah untuk memastikan penguasaan terhadap Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. 

“Tambahan lagi bahasa pula adalah medium yang mengikat perpaduan dalam masyarakat majmuk di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Yahaya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, oleh yang demikian mengapa dasar ini perlu dibantah seolah-olah mahu membina suatu ketakutan kepada para pelajar untuk menggunakan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan

“Selain itu, DUPP juga berpandangan sudah sampai masanya wacana mengenai kedudukan Bahasa Melayu dalam arus pendidikan vernakular ini dibincangkan secara serius dan terbuka. 

“Pindaan terhadap Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 mungkin wajar untuk meletakkan kembali kedudukan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/6/2024

- Advertisement -