Biar mahkamah tafsir ‘drama’ lompat parti

- Advertisement -

TUJUH bekas wakil rakyat Bersatu kelihatan semakin gelabah. Keseronokan mendapat anugerah peruntukan daripada Kerajaan Madani boleh berakhir.

- Advertisement -

Sebelum ini mereka melawan arus demi mendapat laba politik. Usaha itu dirintis Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain pada 12 Oktober 2023.

Kemudian diikuti Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman. Kata mereka sokongan kepada Perdana Menteri demi untuk membantu rakyat. Alasan lima lagi bekas wakil rakyat Bersatu serupa. Skripnya hampir sama.

Mereka tahu kesannya besar. Sedangkan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti. Akta terbabit berkuat kuasa Oktober 2023.

Risiko yang sengaja dicari boleh hilang kerusi yang disandang sekarang.

Biarpun pelbagai hujah dilontar dengan pandangan pro dan kontra, namun kita kena tengok tujuan asal Akta Antilompat Parti digubal. Tujuannya menghalang wakil rakyat mengkhianati mandat rakyat.  

Langkah Sheraton

Ia juga mengelakkan Langkah Sheraton berulang. Langkah Sheraton menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada akhir Februari 2020.

Ia bermula apabila 11 ahli Parlimen PKR mengumumkan keluar parti. Selain itu keputusan Bersatu keluar daripada gabungan PH. Ia berakhir dengan detik-detik Dr Mahathir menamatkan hayat kerajaan PH.

Langkah Sheraton menghancurkan rekod PH selepas mencipta sejarah menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum 2018.

Ekoran itu pada 11 April 2022 Kerajaan Keluarga Malaysia membentangkan pindaan Perlembagaan. Ia bagi membolehkan Akta Lompat Parti digubal.

Tujuannya untuk menangani Ahli Parlimen melompat parti sehingga boleh menjejaskan kestabilan negara. Jelaslah tujuannya untuk menghalang belot parti.

Dewan Rakyat meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan dengan undian dua pertiga pada 28 Julai 2022.

Perkara 49A(1) menjelaskan sebab keanggotaan Dewan Rakyat boleh gugur yang dianggap melompat parti.

Antaranya melepaskan keanggotaan parti politik. Kedua, tidak lagi menjadi anggota parti (asal) dan ketiga, setelah dipilih ke Dewan Rakyat, dia menyertai suatu parti politik lain sebagai anggota.

Maksud lompat parti

Manakala Perkara 49A(2) mengecualikan maksud lompat parti iaitu; pertama pembubaran atau pembatalan pendaftaran parti politiknya. Kedua, pelepasan keanggotaannya daripada parti politiknya apabila dipilih sebagai Yang di-Pertua.

Dan ketiga pemecatannya daripada keanggotaan dalam parti politiknya. Namun harus diingatkan seseorang wakil rakyat tertakluk kepada perlembagaan partinya.

Apabila dia melanggar disiplin parti dan disebabkan itu keahlian tergugur, maka dia dianggap juga melompat parti.

Sebaliknya jika dipecat, dia tidak dianggap lompat parti. Manakala isu logo parti dalam pilihan raya tidak menjadi asas dalam undang-undang lompat parti. Apa yang dilihat keahlian hakiki calon bertanding.

Dalam menangani isu tersebut Bersatu tidak tergesa-gesa memecat tujuh wakil rakyatnya yang beralih sokongan. Sebaliknya, memutus mereka melanggar disiplin parti kerana tidak menyatakan sokongan kepada parti asal.

Isu beralih sokongan tanpa melompat parti, sekadar teknikal undang-undang. Namun, rohnya ramai menganggap ia dikategori di bawah lompat parti.

Sokong

Dalilnya dapat dilihat ketika Rang Undang-Undang (RUU) tersebut dibentang ahli parlimen sokong penuh. Mereka membahaskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 di Dewan Rakyat.

Usaha yang diambil Perdana Menteri ketika itu Ismail Sabri untuk menoktahkan adegan lompat parti. Itu tujuan asal. Melompat parti dalam bahasa mudah juga boleh disifatkan beralih sokongan.

Isu tersebut agak menarik dikupas pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Nor Azura A Rahman.

Beliau meneliti Penyata Rasmi Dewan Rakyat pada 28 Julai 2022 ketika sesi penggulungan RUU tersebut.

Kata beliau Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut menjelaskan situasi sekiranya seseorang Ahli Dewan Rakyat bertentangan dengan prinsip parti politik diwakilinya.

“Sekiranya seorang Ahli Dewan Rakyat mempunyai prinsip yang bertentangan dengan prinsip parti dan menyebabkan keahlian beliau digugurkan berdasarkan perlembagaan parti itu – ceases to be member – maka Ahli Dewan Rakyat tersebut dianggap telah bertukar parti dan perlu mengosongkan kerusinya.

“Ini adalah sekiranya perlembagaan parti politiknya memperuntukkan perbuatan Ahli Dewan Rakyat tersebut yang tidak mengikut prinsip parti, melanggar arahan whip, maka akan terjumlah tidak lagi menjadi anggota parti politik, ceases to be a member dengan sendirinya,” ujar beliau. 

Hujah itu jelas menolak pandangan peguam Haniff Khatri yang menyifatkan dua keadaan seseorang itu disifat melompat parti iaitu keluar parti dan Ahli Parlimen Bebas sertai parti lain.

Sekarang hakim untuk mengadili kes tersebut iaitu Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Speaker DUN Kelantan dan Speaker DUN Selangor. Keputusan di tangan mereka untuk menafsirkan maksud lompat parti.

“Kita tunggu surat pemakluman keputusan pimpinan Bersatu kepada Speaker Dewan Negeri Kelantan. Kemudian Speaker boleh guna peruntukan Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan berkaitan keahlian Dewan Negeri,” kata Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Dr Wan Nik Wan Yussof.

Dua bekas wakil rakyat Bersatu di Kelantan juga terbabit adegan beralih sokongan. Mohd Azizi Abu Naim mewakili parlimen Gua Musang dan DUN Nenggiri. Manakala Zahari Kechik pula Ahli Parlimen Jeli.

Bagi pakar perlembagaan Dr Nik Ahmad Kamal, kes itu boleh ditafsirkan mahkamah sekiranya percanggahan pandangan tidak selesai.

Apa pun perlu ingat, Perkara 49 (a) dilulus Parlimen bagi menghalang lompat parti.

Soal beralih sokongan bukan isu pokok. Sekiranya Speaker dan mahkamah menganggap beralih sokongan bukan maksud melompat parti, pindaan perlembagaan sebelum ini seperti sia-sia. – HARAKAHDAILY 6/6/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -