Bank Rakyat sumbang RM3 juta inisiatif Jangkauan Komuniti

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bank Rakyat menyumbang hampir RM3 juta menerusi inisiatif Jangkauan Komuniti Madani di seluruh negara tahun ini.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria berkata, sumbangan berkenaan merangkumi program Baiti (Rumahku), asnafpreneur dan kebun nuri nutrisi.

Katanya, sumbangan diberi itu hasil keuntungan bank berkenaan tahun lalu.

Kata beliau, lebih 1,000 golongan kurang bernasib baik termasuk asnaf, usahawan asnaf, mualaf dan pelajar mendapat manfaat daripada program berkenaan.

“Di Kelantan Bank Rakyat menyumbang hampir RM500,000 iaitu RM323,000 bagi kos pembinaan rumah termasuk penyediaan keperluan asas untuk lima kediaman di Kota Bharu, Machang dan Tanah Merah.

“Sebanyak RM131,000 lagi disumbang bagi projek peningkatan ekonomi melalui penanaman cendawan tiram putih membabitkan 10 usahawan asnaf terpilih termasuk mualaf di Tumpat,” ketika ditemui pada majlis penyerahan Inisiatif Jangkauan Komuniti Madani di sini semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Syariah Bank Rakyat, Mohd Zamery Abdul Razak dan Pengurus Cawangan Bank Rakyat Kota Bharu, Rosmidi Ibrahim.

Nor Haimee juga berkata, inisiatif asnafpreneur dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.

Menurutnya, inisiatif asnafpreneur bertujuan membantu meningkatkan taraf ekonomi dan sosial usahawan asnaf dan mualaf yang dijalankan selama enam bulan.

Ia merangkumi latihan, bimbingan serta pemantauan secara inklusif daripada aspek penggunaan teknologi pertanian moden.

“Selain itu, seramai 83 pelajar program pendidikan khas integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chabang Empat, Tumpat turut menerima manfaat program kebun nuri nutrisi,” katanya.

Tambahnya, sejak program berkenaan dijalankan pada 2020 lebih 25,000 pelajar daripada 31 institusi pendidikan di seluruh negara mendapat manfaat.

Menurut beliau juga inisiatif Jangkauan Komuniti Madani merupakan komitmen tanggungjawab sosial korporat Bank Rakyat bagi memacu pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat. – HARAKAHDAILY 6/6/2024