3 PBT ada potensi dinaik taraf Majlis Perbandaran

Hilmi Abdullah
- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI), Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) dan Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) berpotensi dinaik taraf kepada Majlis Perbandaran.

- Advertisement -

Manakala Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dinaik kepada Majlis Bandar Raya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, kriteria untuk dinaik taraf kepada Majlis Bandar Raya perlu mempunyai jumlah penduduk tidak kurang 500,000 orang.

Selain itu MPKB BRI perlu memperolehi pendapatan tahunan RM100 juta.

“Berdasar kriteria itu beberapa strategi dirangka untuk mencapai pelan berkenaan,” katanya menjawab soalan Nik Bahrum Nik Abdullah (PAS-Chempaka) pada sidang DUN hari ini.

Begitu juga bagi mencapai taraf Majlis Perbandaran disyaratkan pendapatan tahunan RM20 juta ke atas dengan jumlah penduduk 150,000 orang.

Kata beliau, daripada 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertaraf majlis daerah di Kelantan sekarang tiga daripadanya ada potensi dinaik taraf kepada Majlis Perbandaran.

Menurutnya, MDKPI sekarang anggaran pendapatan tahunan sudah mencapai RM17 juta, begitu juga MDPM anggaran hasil tahunan RM23 juta dan jumlah penduduk lebih 150,000 orang.

“Begitu juga MDGM sudah mencapat anggaran pendapatan tahunan RM20 juta, namun jumlah penduduk 119,000 orang.

“Gua Gusang ada potensi untuk dinaik taraf sebagai perbandaran dengan mengambil langkah kerajaan untuk mewujudkan sebagai bandar nukleas,” katanya.

Bagaimanapun, Shaari Mat Yaman (PAS-Bunut Payong) pula mencadangkan MPKB-BRI dan MDKPI digabung bagi memudahkan untuk dinaik taraf sebagai Majlis Bandar Raya.

Kata beliau MDKPI mempunyai anggaran hasil tahunan sebanyak RM17 juta, manakala MPKB-BRI pula RM70 juta dan apabila digabung mencapai hasil tahunan RM87 juta.

Menjawab cadangan tersebut Hilmi berkata, kajian sedang dibuat terhadap cadangan menggabungkan kedua-dua PBT terbabit terutamanya berkaitan aspek kewangan dan pentadbiran. – HARAKAHDAILY 6/6/2024

- Advertisement -