Tolong bertemu, dengar keluhan peniaga Bandar Hilir

- Advertisement -

AYER KEROH: Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dirayu agar dapat mengadakan pertemuan dengan semua peniaga dan penarik beca yang terlibat dengan isu penutupan jalan bagi Zon Bebas Kenderaan di Bandar Hilir.

- Advertisement -

Ketua Pembangkang DUN Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, ini bagi membolehkan satu keputusan ke arah situasi menang-menang dapat dicapai antara kerajaan dan pemegang taruh yang terlibat dengan isu tersebut.

“Saya sebagai Ketua Pembangkang pernah membangkitkan perkara ini di dalam Dewan. Saya minta kepada pihak kerajaan untuk hentikan penutupan jalan ini.

“Duduk bersama dengan semua pemegang-pemegang taruh, peniaga-peniaga, pengayuh beca atau mana-mana yang terlibat secara langsung dah tak langsung di kawasan ini.

“Ia untuk bincangkan bersama dengan hasil-hasil percubaan atau kajian yang telah dibuat untuk minta pendapat apa yang patut dilaksanakan. Bagaimana cara pelaksanaan yang sesuai,” katanya.

Tegasnya, beliau yakin rakyat dalam kalangan peniaga, penarik beca dan penduduk sekitar itu tidak menolak pembangunan atau kemajuan, tetapi ia tidak wajar sekiranya bersifat menindas rakyat.

“Berhenti mendera rakyat. Ketua Menteri perlu belajar untuk turun mendengar nasib rakyat. Bukan hanya mendengar pendapat-pendapat kecil yang di sekitar dia, yang di sekeliling dia. Dia perlu mendengar semua suara-suara rakyat yang terlibat.

“Tak guna kalau hanya turun bagi dua tiga bungkus pampers, ia tidak akan menyelesaikan masalah. Masalah bukan melibatkan hanya satu orang, tapi ia melibatkan hampir seluruh kawasan tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media sewaktu penyerahan petisyen melibatkan lebih 1,800 peniaga, penarik beca dan penduduk yang terlibat masalah tersebut kepada Ketua Menteri di Kompleks Seri Negeri, di sini petang semalam.

Petisyen tersebut diserahkan oleh wakil peniaga dengan diiringi Ketua Penerangan Pertubuhan Ikatan Cina Melaka, Bryan Goh Han Meng dan Pengerusi Pertubuhan Buruh Wanita Malaysia (PEDULI), Kintan Man.

Wakil kepada Datuk Bandar yang turut disertai Setiausaha Politik Ketua Menteri Melaka, Abdul Hakim Abdul Wahid telah menerima penyerahan petisyen tersebut di lobi kompleks Seri Negeri.

Dalam majlis yang sama, Dr Yadzil yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Melaka turut menerima salinan petisyen tersebut.

Tambahnya, hasil tinjauan yang beliau lakukan sendiri bersama dengan beberapa NGO mendapati kesan penutupan jalan tersebut begitu dirasai oleh peniaga sekitar Bangunan Merah Bandar Hilir.

Malah ujarnya, turut terkesan adalah melibatkan peniaga-peniaga di Dataran Pahlawan, Mahkota Parade dan sehingga ke Jalan Hang Tuah, di situ.

Katanya lagi, hasil tinjauan beliau sebelum itu mendapati peniaga tidak membantah penutupan jalan itu, tetapi jangan sampai ditutup sehingga 52 jam berterusan selama tiga hari sehingga tiada ruang untuk pelancong masuk dengan kenderaan.

“Kalau nak (tutup) malam, tutup saja malam. Tetapi bagi saya baiklah pada wakil peniaga sendiri dapat berjumpa Ketua Menteri untuk jelaskan sendiri apa permintaan mereka yang sebenarnya. Ini untuk kepentingan rakyat.

“Jadi Ketua Menteri saya harap seorang yang berjiwa besar, seorang yang mungkin dapat mendengar suara rakyat dan pemimpin kepada rakyat negeri Melaka, tolong dengar nasib mereka,” ujarnya.

Tambahnya, semua pihak boleh melihat di media-media sosial bahawa tindakan menutup jalan itu mendapat banyak komen negatif daripada orang ramai.

“Rata-rata banyak memberikan komen-komen yang sangat negatif. Tahun ni Tahun Melawat Melaka. Apa yang berlaku adalah satu imej buruk kepada Kerajaan Melaka dan juga (program) Tahun Melawat Melaka ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Pekerja dan Modal Insan PAS Negeri Melaka, Azmi Aziz yang turut hadir dalam penyerahan petisyen tersebut berkata, hasil tinjauan beliau di kawasan terlibat tersebut mendapati perniagaan mereka terjejas semenjak penutupan jalan itu berlaku.

“Kita maklum sudah sekian lama peniaga di situ (berniaga) dan tidak ada apa-apa masalah sebelum ini. Tetapi sejak penutupan jalan berlaku peratusan hasil perniagaan mereka merundum sehingga jatuh kepada 80 peratus keseluruhannya,” ujarnya.

Tambah Azmi, beliau difahamkan bahawa penutupan jalan itu hanya memberi manfaat segelintir pihak sahaja iaitu bagi peniaga di hadapan Bangunan Merah sahaja.

“Selebihnya, khususnya di sebelah peniaga Muzium Samudera, satu lagi di Dataran Pahlawan dan juga peniaga asam pedas kedai-kedai di bazar Mahkota menerima kesan yang amat tidak baik dari segi perniagaan mereka kesan penutupan jalan ini.

“Kita minta kerajaan kalau boleh apa saja pembangunan atau pembaharuan yang nak dibuat perlulah menitikberatkan dan mendengar keluh kesah daripada penduduk khususnya peniaga di sekitar supaya kesan buruk ini tidak menimpa mereka,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa rakyat tidak menolak pembangunan dan pembaharuan, namun ia harus ada kajian mendalam dan jangan sampai pembaharuan itu memiskinkan rakyat yang berada di kawasan terlibat.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan PAS Melaka, Ustaz Wan Zahidi Wan Ismail dan Ketua Armada BERSATU Melaka, Arib Abu Kasim dan beberapa orang lagi wakil Perhubungan Perikatan Nasional Melaka.

Untuk rekod, fasa percubaan zon bebas kenderaan itu mula dilaksanakan pada awal Ogos lalu yang membabitkan penutupan jalan kira-kira 2.3 kilometer.

Ia bermula di Jalan Istana, Jalan Mahkamah, Jalan Gereja-Lorong Gereja-Jalan Laksamana-sebahagian Jalan Tun Khalil Yaakob (sebahagian jalan untuk laluan kenderaan)-Jalan Parameswara-Jalan Kota-Jalan Istana.

Namun, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman mengumumkan tempohnya dilanjutkan dari jam 6 petang hingga Ahad pada jam 12 tengah malam bermula 22 Disember tahun lepas sehingga menimbulkan kesukaran kepada para peniaga. – HARAKAHDAILY 5/6/2024

- Advertisement -