Tiada keperluan rombak AKSB – Exco

Dato’ Dr Izani Husin
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri tidak bercadang melakukan rombakan pengurusan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) biarpun terdapat bekas pegawai kanan agensi itu disiasat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Dr Izani Husin berkata, bukan ramai pegawai AKSB disiasat SPRM berkaitan isu telaga jejari, sebaliknya hanya seorang dua.

“Jadi tidak berbangkit hendak rombak pengurusan secara besar-besaran kerana yang terlibat dengan siasatan SPRM hanya seorang dua.

“Bagaimanapun kita berusaha meningkatkan budaya kerja kakitangan AKSB,” katanya menjawab soalan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) pada persidangan DUN hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan SPRM menahan empat individu termasuk dua bekas pegawai kanan AKSB bagi membantu siasatan berkaitan pembinaan telaga jejari yang tidak berfungsi.

Dr Izani juga berkata, ramai masih tidak tahu AKSB tidak mempunyai banyak kuasa bagi melaksanakan projek bekalan air di Kelantan selepas migrasi dengan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Katanya, setiap projek berkaitan bekalan air yang hendak dilaksanakan di Kelantan perlu mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) terlebih dahulu.

“Selepas migrasi bekalan air dilakukan semua kuasa beralih kepada SPAN. Setiap projek perlu mendapat kelulusan daripada SPAN.

“AKSB hanya sekadar merancang projek manakala kelulusan di bawah SPAN dan selepas mendapat kelulusan projek itu diberi pula kepada PAAB untuk melaksanakannya,” ujar beliau.

Dr Izani juga berkata, dijangka pada tahun 2028 AKSB akan mempunyai 51 loji rawatan air (LRA) yang mampu membekalkan sehingga 880 juta liter sehari (JLH) sedangkan keperluan bekalan air ketika itu sekitar 660 JLH.

Menurutnya sekarang sebanyak sembilan lagi LRA sedang dalam proses pembinaan dan ia dijangka siap pada tahun 2028.

“Ketika itu Kelantan akan mempunyai lebihan pengeluaran air. Namun kita masih lagi berdepan dengan air tidak berhasil (NRW) di tahap 52 peratus.

“AKSB sedang berusaha untuk mengurangkan kadar kehilangan air kepada 35 peratus menjelang 2028,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/6/2024

- Advertisement -