Teknologi buka ruang tingkat kemahiran siswazah

- Advertisement -

KANGAR: Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menekankan kepentingan akses teknologi yang meluas dalam membuka peluang kepada individu untuk meningkatkan potensi diri dan menambah kemahiran.

- Advertisement -

Baginda menyarankan mahasiswa lepasan universiti untuk memanfaatkan peluang mendalami ilmu dan kemahiran baru yang relevan dengan dunia pekerjaan berteknologi tinggi.

“Jadilah insan yang membawa kebaikan kepada orang lain. Semoga ilmu, kemahiran, dan pekerjaan yang diperolehi dapat dimanfaatkan untuk membuka ruang ke arah kemajuan dan pembangunan masyarakat,” titah baginda.

Titah tersebut disampaikan semasa perasmian Majlis Pembukaan ‘AI Summer Camp 09-University Tour’ di sini, dalam siaran media Tuanku hari ini.

Turut hadir, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Pengerusi FCoEE, Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin, serta Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan & Inovasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Wan Kamal Mujani.

Majlis anjuran Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) Perlis dengan kerjasama Institut Visual Informatik (IVI) UKM itu bertujuan meningkatkan kemahiran dan kesediaan siswa-siswi Perlis untuk menghadapi dunia pekerjaan selepas tamat pengajian.

Menurut Kamarudin, enam modul seperti robotik dan pembangunan chatbot disediakan untuk membolehkan peserta menguasai elemen kecerdasan buatan yang disokong oleh kepakaran pensyarah dari IVI dan UKM.

Tuanku Syed Faizuddin Putra, yang juga Penaung DiRaja FCoEE, merasmikan majlis dengan menerima persembahan ‘Buku Modul AISC’ dari Kamarudin.

Baginda menyeru agar kerjasama antara universiti dan FCoEE diperkukuhkan untuk meningkatkan mutu hidup dan kualiti mahasiswa Perlis. – HARAKAHDAILY 5/6/2024

- Advertisement -