Tahun Melawat Kedah 2025 janjikan kelainan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Tahun Melawat Kedah 2025 akan diadakan pelancarannya lebih awal dari yang dijadualkan iaitu pada pertengahan Julai depan.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumunkan perkara itu pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Jelas beliau, majlis pada asalnya dijadualkan pada bulan Disember tetapi diawalkan sementara pra-pelancaran yang dijangka pada Jun yang digabungkan bersama majlis pelancaran tersebut.

“Keputusan ini diambil memandang majlis pra-pelancaran yang dijadualkan pada Jun juga menelan kos agak besar, oleh itu lebih baik terus dibuat majlis pelancaran.

“Selain itu pada bulan Jun, kita hendak memberi tumpuan khusus kepada program-program Sambutan Keputeraan Tuanku Sultan Kedah,” jelasnya.

Maklum beliau, ‘presentation’ Tahun Melawat Kedah 2025 yang dipersembahkan pada mesyuarat Exco tersebut sangat menarik malah memberi jaminan kempen tersebut adalah satu yang berlainan dan berkualiti.

“Melalui kempen ini usaha-usaha padu akan dibuat untuk mempromosikan Kedah sebagai destinasi pelancongan domestik dan antarabangsa. Jadi nak tau sepenuhnya kena tunggu pertengahan bulan Julai ini,” katanya.

Dalam pada itu, Tahun Melawat Kedah 2025 mengekalkan Langkawi sebagai ‘pintu masuk’ sementara pelancongan di sebelah tanah besar akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Kita tak meletakkan ‘time frame’ Tahun Melawat Kedah 2025 ini secara spesifik, tetapi kita buat secara terbuka, selepas pelancaran pertengahan Julai ini, kita akan terus jadikan Kedah destinasi utama pelancongan.

“Ini kerana pelancongan merupakan sektor penting kerana ia umpama tiang kepada perkembangan ekonomi sama ada logistik, perhotelan, pengangkutan dan lain-lain,” tambah beliau.

Selain domestik kata Sanusi, Tahun Melawat Kedah 2025 juga menyasarkan pelancong antarabangsa khususnya yang menjadikan Kedah bukan sahaja tempat melancong, tetapi juga destinasi berbelanja.

Jelasnya, berdasarkan data yang dikeluarkan, pelancong dari negeri China walaupun kehadirannya ramai, tetapi tidak berbelanja sebaliknya pelancong dari Timur Tengah lebih suka berbelanja.

“Kita nak pelancong mai negeri kita bukan hanya melancong, tetapi juga mempunyai keupayaan untuk berbelanja, baharulah ekonomi akan berkembang.

“Oleh itu negara-negara Arab akan menjadi salah satu fokus kempen kita.” ujar ADUN Jeneri itu lagi. – HARAKAHDAILY 5/6/2024

- Advertisement -