‘Soalan buat PMX: Adakah Islam ajar mungkiri janji manifesto?’

Mohd Zamri Mohd Zainuldin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Tiada guna jika nama sahaja disebut Islam, namun prosesnya diisi dengan kemungkaran.”

Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor, Dr. Ustaz Mohd Zamri Mohd Zainuldin berkata demikian sambil menyatakan, timbul persoalan apabila mendengar  seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) bahawa pembangunan Madani perlu berakarkan kepada kekuatan akidah dan akhlak Islam.

- Advertisement -

Memetik kata-kata PMX yang berbunyi, “Kita nak jadikan Malaysia negara Madani. Maknanya negara yang maju, yang menyelamatkan rakyat dengan berpaksi kepada kekuatan, semangat dan jiwa Islam”, Mohd Zamri menyetujui bahawa hanya Islam yang mampu membentuk masyarakat Madani. 

“Sebagaimana penubuhan negara Madinah oleh Rasulullah SAW apabila setiap kegiatan manusia dikaitkan dengan Allah serta penghisaban dosa dan pahala.

“Namun, soalan saya buat PMX, adakah Islam mengajar kita untuk memungkiri janji-janji manifesto?”

“Adakah layak disebut kekuatan Islam apabila golongan miskin terus ditindas dan yang kaya terus dibela?” soal beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, budaya nepotisme, rasuah dan salah laku, penganjuran hiburan melampau dan tidak terkawal serta pembelian saham Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) oleh Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki sepenuhnya oleh syarikat pro-Israel, BlackRock yang berlaku di era kerajaan Madani, adakah itu maksud ‘berpaksi kepada kekuatan Islam’ oleh PMX?

“Perkara ini pernah diterangkan dan diberi amaran oleh Presiden PAS (Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang).

“Inilah kesan apabila mereka yang rosak kerana rasuah, salah laku, ekstrem, nepotisme dan kronisme dihimpunkan dalam satu pakatan bersama mereka yang ditolak oleh rakyat menjadi sebuah kerajaan,” tegasnya.

Menurut Dr.Zamri, sebelum menyeru rakyat, lebih baik PMX pasakkan kekuatan Islam di dalam barisan kabinet beliau terlebih dahulu dan jangan hanya digunakan sebagai istilah tanpa amalan.

“Saya serta seluruh umat Islam sedia menyambut seruan ini jika kerajaan hari ini sedia berpegang dengan Islam yang sebenar dan menyeluruh,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/6/2024

- Advertisement -