PURNAMA santuni mangsa kebakaran di Lundang

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kebakaran yang melibatkan empat rumah penduduk di Lundang awal pagi Jumaat lepas turut mendapat perhatian Pertubuhan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Kelantan (PURNAMA).

- Advertisement -

Hari ini PURNAMA yang diketuai Yang Dipertua PURNAMA, Datin Panglima Perang Wan Nor Hanita Wan Yaacob menyantuni mangsa-mangsa kebakaran terbabit.

Hadir sama Timbalan Yang Dipertua PURNAMA, Datin Bahrulnurarifah Baharuddin dan ahli-ahli jawatankuasanya. Turut hadir ADUN Bunut Payong Shaari Mat Yaman.

Nor Hanita berharap mangsa terbabit bersabar menerima tragedi yang berlaku itu dan menganggap sebagai ujian besar diberi Allah kepada hamba-Nya yang beriman.

“Kami dari PURNAMA amat bersimpati terhadap apa yang berlaku. Kita turun padang untuk bertanya khabar bagi mengurangkan beban mangsa,” katanya ketika berucap pada kunjungan tersebut petang ini.

Beliau turut menghulurkan sumbangan kepada empat keluarga mangsa kebakaran berkenaan.

Sementara itu, mangsa kebakaran Mohd Razali Yusof, 67, berkata, keluarga mengalami kerugian kira-kira RM50,000 apabila barang kemas isterinya turut hangus dalam kejadian itu.

Katanya, jumlah kerugian itu tidak termasuk Proton Preve dan Proton Pesona serta motosikal Yamaha Y15ZR yang turut musnah.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi. Saya dikejutkan dengan bunyi letupan kecil di luar bilik. Selepas melihat api sedang marak saya terus mengejutkan isteri.

“Saya kemudian bergegas mendukung cucu berusia sembilan tahun keluar dari rumah tanpa sempat menyelamatkan barang-barang penting lain,” katanya.

Pada kejadian Jumaat lepas, 16 mangsa dari empat keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran terbabit.

Seorang lagi mangsa, Mek Yah Md Yusoff, 59, mengucap terima kasih kepada semua pihak yang datang membantu mereka termasuk wakil rakyat. – HARAKAHDAILY 5/6/2024

- Advertisement -