Protes ‘Madani Bisukan Rakyat’ di SKMM Jumaat ini

YB Viral mengumumkan mengenai protes 'Madani Bisukan Rakyat' yang akan diadakan menjelang Jumaat ini, 7 Jun 2024.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Protes ‘Madani Bisukan Rakyat’ akan dianjurkan pada Jumaat (7 Jun 2024 ini di hadapan ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Cyberjaya, bermula pada jam 5 petang.

Protes senyap ini bakal disertai aktivis, pembentuk pendapat, pempengaruh dan ahli-ahli politik yang mana akaun media sosial mereka telah dikekang kerana mengkritik kerajaan.

- Advertisement -

Pempengaruh media sosial, YB Viral atau nama sebenarnya, Aidil Yunus berkata, protes senyap berkenaan akan turut disertai oleh mereka yang menyokong hak kebebasan bersuara dan kebebasan meluahkan pendapat, dan dianggarkan kira-kira 50 peserta akan mengambil bahagian.

Menurutnya, wakil yang  telah diamanahkan untuk menjadi jurucakap acara protes itu ialah dua orang peguam, Rafique Rashid Ali dan Ustaz Zubir Embong

“Mereka juga sangat aktif bersuara di media sosial dan sangat memahami situasi yang sedang terjadi,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Sejajar itu, notis pemberitahuan selaras dengan Akta Perhimpunan Aman 2012 telah diberikan kepada Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sepang pada minggu lepas, sementara Majlis Perbandaran Sepang juga telah dimaklumkan.

Dengan itu juga, media dijemput untuk membuat liputan dan bagi maklumat lanjut, boleh hubungi Penyelaras Komunikasi DEMI NEGARA, Saudari Ili Athirah menerusi nombor telefon 019-6841654.

“Pihak media juga dialu-alukan untuk membuat temubual eksklusif dengan dua wakil yang telah diamanahkan tersebut dan nama-nama besar yang mana akaun media sosial mereka telah dikekang oleh kerajaan Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/6/2024

- Advertisement -