ALOR SETAR: Kerajaan negeri tidak menanggung kerugian apabila projek pembangunan yang dikendalikan oleh pihak swasta gagal atau tidak berjalan sepertimana dijadualkan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia berbeza dengan projek kerajaan negeri yang di mana akan diusahakan bersungguh-sungguh agar berjaya dilaksanakan.
“Sektor swasta bergantung kepada bisnes, tapi ramai yang tak faham. Asalkan umum mesti kena jadi. Sektor pelaburan swasta bergantung kepada pasaran dan keadaannya.
“Lepas tu tak jadi, takkan kita (kerajaan negeri yang) salah? Itu pertimbangan yang dibuat oleh pelabur swasta,” tegasnya pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Sanusi berkata demikian bagi menjelaskan dakwaan pihak tertentu yang menuduh kerajaan negeri gagal melaksanakan projek diumumkan, sedangkan ia adalah milik swasta.
Antara projek yang menjadi tumpuan serangan musuh politiknya termasuklah litar lumba di Sungai Petani dan projek Widad Langkasuka di Langkawi.
“Widad Langkasuka adalah pelaburan swasta, bukan projek pembiayaan kerajaan negeri. Projek itu bukan sahaja dilancarkan di Kedah, tetapi juga di Kuala Lumpur oleh Perdana Menteri ketika itu. Bila PM dah lancar, takkan kita di negeri ini tak umum?
“Lagipun projek Widad Langkasuka bukannya tak jalan, tetapi masih di fasa 1, ambil sikit masa untuk kelulusan Kebenaran Merancang (KM) sebab projek tu besar, tapi tak berhenti, sedang berjalan,” tambah beliau.
Begitu juga katanya berkenaan litar lumba di Sungai Petani yang asalnya projek kerajaan negeri, tetapi diswastakan kerana kosnya tinggi.
Peruntukan awal yang diterima oleh kerajaan negeri sebelum ini kata Sanusi, berjumlah RM30 juta tetapi diubah pelan sehingga kos meningkat RM73 juta.
“Terima peruntukan RM30 juta, ubah pelan jadi RM73 juta, dah guna RM10 juta, tinggal RM20 juta. Jadi kena ubah, swasta yang _invest_ (melabur). Bila keadaan syarikat tidak memberangsangkan adalah sekatan.
“Cadangan asal memang kita yang umum, tapi mai masalah di tengah jalan. Swasta tak macam kerajaan, dapat bajet buat, untung rugi tak kira. Tapi swasta bergantung sepenuhnya kepada untung rugi. Itulah bisnes,” jelasnya panjang lebar.
Tetapi kata ADUN Jeneri itu lagi, ada pihak lebih suka mengutuk dan lebih memandang perkara buruk daripada hal baik, maka buruklah yang diperolehinya.
“Berbeza dengan projek yang dijalankan atas peruntukan kerajaan sama ada gajah putih, gajah hitam, badak berendam atau sebagainya, tak apalah sebab kita bukan berniaga.
“Tetapi kerajaan negeri sekarang tak terbabit dengan projek gajah putih seperti itu. Kita amat berhati-hati dengan duit pembayar cukai,” tegasnya lagi.
Dalam pada itu beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memaklum, projek stadium di Sungai Petani yang diumumkan oleh pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sedikit masa lalu juga bukan di bawah kerajaan negeri.
“Sama ada nak teruskan atau sebagainya adalah atas pertimbangan mereka,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 5/6/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!