Projek cuka rambutan atasi lambakan buah-buahan

Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail
- Advertisement -

KOTA BHARU: Perbadanan Kemajuan Pertanian Kelantan (PKPK) melaksanakan projek pembangunan pertanian di Rong Chenok Agro Valley (RCAV) di Pasir Mas.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komiditi, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, program itu mendapat kerjasama Kementerian Pertanian Keterjaminan Makanan (KPKM).

Katanya, kementerian terbabit memperuntukkan sebanyak RM1.4 juta bagi melaksanakan projek terbabit.

“Ia membolehkan sistem saliran di RCAV dari Danau Tok Uban ditambah baik bagi meningkatkan pengeluaran hasil pertanian.

“Kementerian meluluskan peruntukan bagi melaksanakan projek  pembangunan pertanian melalui PKPK bagi memastikan bekalan air di RCAV mencukupi,” katanya menjawab soalan Mohamad Nasriff Daud (PAS-Pengkalan Pasir) pada sidang DUN hari ini.

Sebelum itu Nasriff meminta kerajaan negeri menjelaskan peranan PKPK yang ditubuhkan pada tahun 2019 untuk memajukan sektor pertanian di Kelantan.

Tuan Mohd Saripudin juga berkata, PKPK ditubuh bagi merancang, melaksana dan memantau program serta projek pembangunan ekonomi pertanian di Kelantan supaya lebih terancang.

“sehingga kini projek dikendalikan PKPK memberi manfaat kepada rakyat tempatan seperti projek pertanian secara hidroponik dan fertigasi.

“PKPK turut melaksanakan pertanian secara struktur pelindung hujan di RCAV, projek pelestarian ternakan lembu hybrid dan memperkasakan program lembu pawah naim beef,” ujarnya.

Selain itu bagi projek tanaman tebu telur PKPK menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Peladang Kwasan (PPK) Seri Gunong dan tanaman itu dieksport ke luar negara.

Manakala projek pembangunan cuka rambutan dan dokong beroperasi di Pengkalan Chepa bermula Julai 2022 bagi menyelesaikan lambakan buah-buahan. – HARAKAHDAILY 5/6/2024

- Advertisement -