KUALA TERENGGANU: Pemeteraian perjanjian Young Talent Scholarship Programme (YT-TI) 2023 antara Yayasan Terengganu (YT) dan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (TI) membuka peluang kepada para pelajar cemerlang negeri ini mendapatkan pendidikan tinggi terbaik.
Pengarah YT, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, perjanjian itu juga sekali gus membantu melahirkan modal insan berkualiti demi kemajuan serta kelestarian negeri di masa hadapan.
“Pemeteraian perjanjian antara Yayasan Terengganu bersama Kumpulan Terengganu Inc ini merupakan manifestasi kesungguhan kedua-dua entiti dalam usaha menawarkan lebih banyak tawaran biasiswa untuk dimanfaatkan demi pembangunan modal insan minda kelas pertama berserta jaminan peluang pekerjaan bersama Kumpulan TI,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Young Talent Scholarship Programme (YT-TI) 2023 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Majlis tersebut dirasmi dan disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Dato’ Satiful Bahri Mamat, diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu merangkap Pengerusi TDM, Tengku Seri Bijaya Raja Dato’ Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu, Dato’ Razali Che Ani dan Najman Kamaruddin yang mewakili TDM menandatangani perjanjian.
Pada majlis sama turut diraikan 10 pelajar cemerlang yang terpilih sebagai penerima biasiswa Young Talent Scholarship Programme (YT-TI) bagi ambilan kedua tahun 2023. (Foto atas)
Menurut Azmi, YT telah menubuhkan Tabung Biasiswa GLC pada Tahun 2022 untuk meningkatkan kapasiti tawaran biasiswa dengan sokongan syarikat-syarikat korporat negeri sebagai alternatif pendidikan tinggi kepada golongan sasar yang layak serta mereka yang memerlukan.
“Terengganu Incorporated Sdn Bhd bersama-sama kumpulan di bawahnya seperti TDM Berhad, EPIC Berhad, Ladang Rakyat Trengganu Sdn. Bhd. Golden Pharos Berhad dan PTB Group telah menyalurkan sumbangan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM500,000 melalui Tabung Biasiswa GLC.
“Yayasan Terengganu sebagai badan yang bertanggungjawab mengendalikan dan mengurus biasiswa kepada pelajar-pelajar cemerlang yang terpilih,” katanya.
Menurutnya, setiap pelajar memperolehi tajaan biasiswa dianggarkan berjumlah RM50,000 sepanjang tempoh pengajian selama empat tahun di samping turut menerima peranti pad atau komputer riba bagi kegunaan pembelajaran.
“Kesemua pelajar ini sedang melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di beberapa universiti awam dalam negara dengan pengkhususan bidang Perundangan, Pengurusan Muamalat, Analitik Data, Sains Komputer, Sains Statistik, Pengurusan Alam Saltar. Pentadbiran Perniagaan dan Teknologi Pertanian,” katanya.
Jelas beliau, fungsi Tabung Biasiswa GLC bukan hanya tertakluk kepada penajaan semata-mata, malah merangkumi aspek kebajikan serta kesejahteraan pendidikan anak Terengganu di setiap peringkat.
Tambah beliau, sumbangan kepada Tabung Biasiswa GLC itu juga terbuka kepada semua individu, agensi atau syarikat korporat yang berminat untuk turut sama membantu bagi pendanaan biasiswa pelajar cemerlang Terengganu dengan setiap sumbangan layak mendapat pengecualian cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri. – HARAKAHDAILY 5/6/2024