Pemimpin dalam menelusuri nasihat dan rintangan

- Advertisement -

KEPIMPINAN mempunyai pengaruh yang sangat penting dan kuat ke atas umat di mana sebagai Khalifah Allah mestilah berpegang teguh kepada panduan Islam.

- Advertisement -

Al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin mengurai nasihat dan rintangan pemimpin bersempena musim Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan-kawasan seluruh negara ketika ini.

Ikuti butiran ringkas dikongsikan tokoh ini bersama Wartawan Harakah, NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF.

Ikuti panduan Islam

Nasihat utama beliau adalah supaya mengikuti panduan Islam dalam menjalankan kepemimpinan.

Beliau menekankan bahawa jika mengikuti panduan Islam, Allah pasti akan menghadirkan pertolong- Nya. Ini mengisyaratkan bahawa ketaatan kepada ajaran agama dapat menjadi kunci kejayaan dalam kepemimpinan.

“Panduan yang baik adalah panduan syariat Islam itu sendiri. Kalau kita ikuti panduan Islam yang Allah berikan, Insya-Allah Dia akan menolong kita.

“Maka pemimpin jangan melakukan sesuatu yang Allah tidak suka, sungguhpun perbuatan kita tidak mencapai 100 peratus, tetapi kita harus melakukan sebaik yang mampu.

“Pencapaian itu tergantung pada Allah, kerana Allah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud “Kamu hendaklah beramal dengan sungguh-sungguh, amalan itu akan ditonton oleh Allah, Rasul, dan orang yang beriman”,” katanya.

Justeru itu ujar Tuan Guru Hashim, panduan yang diberi hendaklah diamalkan.

“Panduan sudah ada, maka wajiblah untuk beramal, jika tidak akan dapat melakukan arahan tersebut 100 peratus pun, tapi harus berusaha sebaik yang mampu.

“Jangan mencari jalan lain selain dari jalan Allah, saya yakin kita mampu berusaha sebaik mungkin dan Allah akan menilai kerja kita,” katanya.

Tajdid, islah dan tawakal

Beliau juga menyoroti kelemahan dalam kepemimpinan saat ini dan menyeru perubahan dari awal. Tuan Guru menekankan pentingnya melakukan penambahbaikan dan perubahan untuk memperbaiki keadaan yang ada.

“Saya melihat pada saat ini masih ada kelemahan, jangan biarkan kelemahan ini berterusan dan perlu adanya perubahan dari awal, perbaiki dan ubah,” katanya.

Turut ditegaskan adalah kepentingan bertawakal kepada Allah oleh para kepemimpinan. Katanya, harapan dan kebergantungan kepada Allah harus tetap terjaga dalam setiap langkah kepemimpinan yang diambil.

Terima teguran

Beliau juga menekankan pentingnya menerima teguran dalam Islam. Seorang pemimpin ujarnya, harus terbuka terhadap kritik dan teguran yang membangun dari masyarakatnya, serta bersedia untuk melakukan perubahan jika diperlukan.

“Teguran dalam Islam adalah salah satu yang dituntut, contohnya, Saidina Abu Bakar ketika dilantik mengucapkan “Aku dilantik memimpin kamu dan aku bukanlah yang terbaik di kalangan kamu. Jika benar, sokong aku, jika salah, perbetulkan aku”.

“Inilah dasar Islam, ertinya, pemimpin harus mendengar teguran dan menilai apakah teguran tersebut dapat membangun atau meruntuh,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/6/2024

- Advertisement -