Kempen Kelantanku Bersih buah hasil

Hilmi Abdullah
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kempen Kelantanku Bersih yang dijalankan kerajaan negeri sejak penggal lepas membuahkan hasil apabila Jeli dinobatkan sebagai daerah kedua bahagia di Malaysia tahun ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, kajian itu dibuat berdasar 155 daerah yang terdapat di Malaysia.

Katanya, kejayaan tersebut antaranya hasil kempen Kelantanku Bersih yang dijalankan kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Keberkesanan kempen Kelantanku Bersih yang kita dijalankan membuahkan hasil apabila Jeli dinobatkan sebagai Daerah Bahagia di Malaysia.

“Manakala Kota Bharu disenarai sebagai bandar raya ke-16 terbaik di Asia Tenggara dan berada pada kedudukan ke-433 peringkat dunia pada tahun 2024,” katanya menjawab soalan tambahan Mohd Rusli Abdullah (PAS-Wakaf Bharu) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Kota Bharu disenarai sebagai bandar raya ke-16 terbaik di Asia Tenggara berdasar penarafan tersebut hasil laporan dan bancian Oxford Economic Global Cities Index 2024.

Badan itu membuat kajian meliputi 1,000 bandar di seluruh dunia daripada 163 negara yang dinilai berdasar aspek ekonomi, sumber manusia, kualiti hidup, alam sekitar dan tadbir urus dengan 27 indikator pemarkahan.

Hilmi juga berkata, Jabatan Kesihatan turut menjalankan kempen Kelantan Sihat bagi mewujudkan suasana kondusif dan ceria.  

Menurutnya juga PBT merancang mewujudkan lebih banyak tempat rekreasi di seluruh negeri bagi mewujudkan gaya hidup sihat rakyat Kelantan. – HARAKAHDAILY 5/6/2024

- Advertisement -