Jenazah Pyanhabib dikebumi pagi ini: Pemuda PAS ucap takziah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia mengucapkan salam takziah kepada kerabat dan sahabat Allahyarham Pyanhabib Rahman yang menghembuskan nafasnya susulan sakit tua di kediamannya di AU4 Keramat di sini, pada malam tadi.

Jenazah Allahyaham telah dimandi dan dikafankan di Masjid As Sobihin di AU2, Keramat, di sini, pada jam 9 pagi hari ini, Rabu (5 Mei), dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 pada jam 11.45 pagi.

- Advertisement -

“Semoga Allah SWT menerima segala amalan, mengampuni serta merahmati jenazah Allahyarham Pyanhabib,” kata Pemuda PAS dalam satu kenyataan.

Seniman tanah air yang juga merupakan penyair, penulis dan pelakon berbakat, Allahyarham pemilik nama sebenar Mohd Supyan Abdul Rahman pergi menghadap Ilahi ketika berusia 66 tahun.

Berita pemergian seniman versatil itu pada malam tadi telah dikongsi oleh isterinya, Zurina Zakriya menerusi Facebooknya.

Perjuangan seni Allahyarham Pyanhabib bermula sejak 1970-an lagi.

Berita mengenai Alahyarham itu turut dikongsi oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan, Pemberdayaan Usahawan dan Ekonomi Kreatif, Pengurusan Bencana Selangor, Mohd Najwan Halimi di laman sosialnya.

“Dukacita dimaklumkan seniman Pyanhabib Rahman baru saja menghembuskan nafasnya terakhir di kediaman beliau di Hulu Kelang, sebentar tadi.

“Sesungguhnya kita datang dari Allah dan kepada Allah jua kita akan kembali,” tulisnya di laman sosial berkenaan.

Dikenali umum sebagai penyair dan penulis sajak, Alahyarham turut berbakat sebagai pelakon menerusi filem-filem lakonannya termasuk Kembara Seniman Jalanan, Tsu Feh Sofiah, Rozana Cinta 87, Tak Kisahlah Beb, Mat Som, Rock Oo!, Apokalips X dan Usop Wilcha Meghonjang Makhluk Muzium.

Allahyarham Pyanhabib pernah menghasilkan karya buku berjudul, Politikus Tikus Tikus.

Beliau menjadi satu-satunya pelakon Malaysia yang menolak pengiktirafan tertinggi dalam industri filem di negara ini sehingga kini, apabila memenangi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Tsu Feh Sofiah di Festival Filem Malaysia ketujuh pada 6 Disember 1987, tetapi beliau bertindak memulangkan kembali trofi terbabit. 

Sebagai penghargaan sepanjuang empat dekad sebagai penyair, Gabungan Persatuan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) telah menobatkan Pyanhabib sebagai penerima Anugerah Tokoh Puisi Kuala Lumpur dengan gelaran ‘Penyair Kuala Lumpur’ pada 2022.

Cukup sinonim dengan penampilan dirinya yang unik, Alahyarham memiliki pemikiran dan karakter tersendiri sebagai pejuang anak seni sejak era 1970-an.

Pernah menghasilkan buku yang sold-out di pasaran berjudul, Politikus Tikus Tikus, Alahyarham cukup diingati ramai apabila secara berseloroh pernah membuat kenyataan media bahawa menyaksikan orang politik bergaduh memberikan idea buat dirinya untuk menghasilkan puisi. – HARAKAHDAILY 5/6/2024

.

- Advertisement -