KUALA LUMPUR: Agama Islam tidak sekadar mencegah pencemaran alam sekitar, bahkan umatnya dituntut memanfaat dan memakmurkan alam sekitar demi kesejahteraan sejagat.
Ahli Dewan Negeri (ADUN) Semenyih, Ustaz Nushi Mahfodz berkata, terdapat tiga prinsip interaksi orang Islam bersama dengan alam sekitar iaitu pertamanya mengusahakan setiap inci tanah agar mengeluarkan hasil buat semua.
“(Ini berdasarkan Hadis Riwayat Bukhari yang bermaksud) Tiada seorang muslim pun yang bercucuk tanam, lalu hasilnya dinikmati burung, manusia atau haiwan ternakan melainkan semua itu dicatat pahala sedekah untuknya.
“(Prinsip) keduanya (iaitu) memelihara kebersihan alam sekitar (berdasarkan Hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud) takutlah kalian daripada melakukan tiga perkara yang mengundang doa laknat oleh orang ramai;
“Iaitu kalian membuang air atau mengotorkan tempat-tempat manusia berteduh, jalan laluan mereka dan takungan air yang tidak mengalir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini bersempena Hari Alam Sekitar Sedunia.
Prinsip ketiga, ujar Nushi lagi, orang Islam dilarang memusnahkan tanaman ketika berperang, lebih-lebih lagi ketika waktu aman kerana pokok dan tumbuh-tumbuhan merupakan sumber penghasilan oksigen buat manusia dan haiwan.
“(Pokok dan tumbuh-tumbuhan adalah) sumber makanan, dan juga hasil ekonomi selain sebagai tempat berteduh melepaskan lelah.
“Sebelum mengutus tentera muslimin untuk Pembukaan Kota Syam, Saidina Abu Bakr r.a. berwasiat kepada Usamah Zaid, panglima perang dengan beberapa perkara, ‘Jangan kalian tebang pokok-pokok, jangan kalian bakar kebun kurma, jangan kalian musnahkan dusun buah-buahan’.
“Pemeliharaan alam sekitar merupakan tanggungjawab bersama. Elakkan pencemaran. Jika berlaku di depan mata kita, failkan aduan, tegur pelaku dan usahakan pembersihan berkala dalam komuniti masing-masing.
“Proses pemuliharaan alam sekitar menelan kos belanja yang tinggi jika kita tidak peduli penjagaan alam sekitar. Selamat Hari Alam Sekitar 2024,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/6/2024