Diskaun denda premium tanah dapat sambutan rakyat

Dato' Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud
- Advertisement -

KOTA BHARU: Langkah kerajaan negeri memberi diskaun sehingga 90 peratus bagi denda premium tanah, lewat bayar cukai dan sebagainya mendapat sambutan menggalakkan orang ramai.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, usaha itu menggambarkan sikap prihatin kerajaan negeri kepada rakyat yang berdepan kesukaran akibat kelembapan ekonomi.

Katanya, pengumuman diskaun itu dibuat pada Disember lepas dan tempohnya dilanjutkan lagi sehingga 31 Januari tahun ini.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan sejurus pengumuman ini dibuat pada Disember 2023. Kerajaan negeri terima 1,395 permohonan yang melibatkan jumlah cukai sebanyak RM1.1 juta.

“Selama tempoh dua bulan ada 2,353 permohonan yang melibatkan jumlah cukai RM2.7 juta, manakala pungutan hasil tertunggak juga berjaya dikurangkan secara keseluruhan RM2.4 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ku Mohd Zaki Ku Husin (PAS-Dabong) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.

Menurutnya juga cadangan pemberian diskaun dibuat pada akhir tahun dan ia bergantung kemampuan kewangan kerajaan negeri.

“Inisatif yang diumumkan kerajaan negeri merupakan pendekatan realistik bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat tidak terjejas dengan situasi semasa,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 5/6/2024

- Advertisement -