Bantah BlackRock: GAMIS sedia turun padang

Imran Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mengecam sekeras-kerasnya tindakan kerajaan membenarkan jalinan hubungan dengan syarikat Global Infrastructure Partners (GIP), yang merupakan anak syarikat BlackRock yang pro-Israel.

Presiden GAMIS, Imran Sulaiman berkata, tindakan kerajaan sebelum ini yang membenarkan syarikat Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengadakan tawaran sukarela prasyarat (konsortium) bersama dua syarikat asing, Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP) dengan menawarkan hampir 30 peratus pegangan saham dalam Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah ditentang keras.  

- Advertisement -

Ini kerana menurutnya, ia telah menimbulkan kegusaran rakyat dan mempersoalkan prinsip kerajaan yang sebelum ini menyatakan kebersamaan teguh perjuangan rakyat Palestin tetapi bermuka dua bersama Zionis Israel. 

“GAMIS bertegas dan mendesak kerajaan agar menghentikan hubungan dan penjualan saham kepada GIP yang dimiliki sepenuhnya oleh syarikat pro-Israel, Blackrock. 

“GAMIS juga menyeru kepada kerajaan agar sentiasa konsisten dan berpendirian teguh dalam memperjuangkan kebebasanPalestin dan menolak sekeras-kerasnya genosid yang sedang berlaku di Rafah. 

“Mahasiswa juga tidak akan teragak-agak untuk turun ke jalanan bagi menunjukkan komitmen dan solidariti kami terhadap bantahan (berhubung isu GIP-BlackRock, MAHB)ini,” katanya dalam satu kenyataan. 

Tambah Imran, GAMIS selaku badan yang mengetuai golongan mahasiswa di Malaysia membawa dua mesej utama. 

“Pertama, memboikot Israel dengan menyatakan Malaysia tidak boleh ada sebarang keterikatan bersama dengan Israel dan proksi mereka yang membantu genosid ini, boikot dari semua aspek tidak termasuk hubungan diplomasi, politik dan juga hubungan secara tidak langsung seperti sukan.

“Kedua, mahasiswa bersolidariti menyokong Palestin, dan mesej Ini sudah diangkat oleh mahasiswa di seluruh dunia termasuklah di Amerika Syarikat sehingga berlaku demonstrasi besar-besaran yang diketuai oleh mahasiswa. 

“Oleh itu menurutnya, pihak GAMIS juga akan menyahut seruan yang sama demi saudara-saudara kita di Palestin,” tegasnya.

Menurut Imran, sehubungan itu, GAMIS akan turun ke beberapa kampus, dalam masa yang sama akan mengerahkan seluruh mahasiswa di Malaysia untuk turun di jalanan pada hujung minggu ini.

“Kami masih dalam proses permohonan kebenaran daripada pihak berkuasa. Kami akan menjalankan himpunan ini mengikut prosedur dan undang-undang seperti yang disarankan pihak polis,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

BlackRock adalah syarikat mega daripada Amerika Syarikat yang menguruskan aset-aset global dan antara penyumbang peralatan senjata perang kepada Israel ketika sedang berlakunya genosid terhadap Palestin sejak perang Hamas-Israel meletus pada 7 Oktober 2023. – HARAKAHDAILY 5/6/2024

- Advertisement -