KOTA BHARU: Sehingga sekarang banyak produk keluaran usahawan Kelantan berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Antaranya Ain Medicare Sdn Bhd mengeksport produk farmaseutikal, Akifcafe Coffee Industries Sdn Bhd mengeluarkan produk kopi campuran segera.
Selain itu, Omni Mal Agencies Sdn Bhd menghasilkan produk berasaskan kurma dan Durianship Sdn Bhd pula membekalkan durian ke pasaran antarabangsa.
Produk keluaran syarikat terbabit berjaya menembusi pasaran di Brunei, Singapura, Thailand, Arab Saudi, China, Vietnam dan Australia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Abd Rahman berkata, syarikat terbabit merupakan sebahagian daripada 83 syarikat yang berdaftar dalam pengkalan data Malaysia Exporters Registry (MATRADE).
Katanya, daripada jumlah tersebut 65 syarikat kategori sendirian berhad.
“Sebanyak 23 syarikat sendirian berhad mula mengeksport produk-produk tersebut ke luar negara,” katanya menjawab soalan Ahmad Zakhwan Mohd Noor (PAS-Kemuning) pada sidang DUN Kelantan hari ini.
Menurutnya juga syarikat tersebut menerima insentif di bawah MATRADE untuk membangun dan mengembangkan produk. – HARAKAHDAILY 5/6/2024