Wajar negeri diagih sebahagian cukai hartanah

Nik Bahrum Nik Abdullah
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri perlu mencari sumber-sumber hasil untuk menampung perbelanjaan yang kini mencecah lebih daripada RM1 bilion setahun.

- Advertisement -

Timbalan Exco, Nik Bahrum Nik Abdullah berkata, sumber hasil termasuk perbincangan untuk menaikkan kadar pemberian ikut kepala daripada kerajaan Pusat.

Katanya, berdasar amalan sekarang bagi 100,000 penduduk yang pertama dibayar geran perkapita pada kadar RM72, dan seterusnya RM10.20 bagi 500,000 penduduk yang berikutnya, kemudian RM10.80 bagi 500,000 orang berikutnya.

“Manakala baki dibayar mengikut kadar RM11.40 bagi tiap-tiap orang. Secara purata kiraan sekarang bagi Kelantan lebih kurang RM14.30 seorang,” katanya yang juga ADUN Chempaka pada kenyataan sempena sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini. 

Menurutnya juga Perkara 109 Perlembagaan Persekutuan menetapkan pemberian wajib kepada negeri hendaklah dikira mengikut kepala, selaras Bahagian I Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

Kedua, pemberian jalan negeri yang dikira sebagaimana Bahagian II Jadual Kesepuluh.

“Wang-wang tersebut disalurkan melalui tabung wang yang dikenali sebagai Kumpulan Wang Yang Disatukan. Biasanya wang tersebut diguna seperti dibentangkan dalam bajet tahunan.

“Dan sudah tentu wang tersebut tidak cukup. Saya mencadangkan kerajaan mengenakan cukai Real Property Gain Tax (RPGT) bagi setiap transaksi pemindahan hartanah.

“RPGT dikutip atau dikenakan oleh kerajaan Persekutuan kerana semua cukai hak kerajaan Pusat,” ujarnya.

Namun hujahnya kata beliau transaksi berlaku dalam negeri, hartanah pun dalam negeri sepatutnya hasil cukai tersebut dikembalikan kepada kerajaan negeri sebahagiannya. – HARAKAHDAILY 4/6/2024

- Advertisement -