WILMINGTON, Delaware: Pemilihan juri bermula dalam kes jenayah mahkamah terhadap Hunter Biden, anak lelaki Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dalam pendakwaan bersejarah yang boleh mempengaruhi lagi pilihan raya presiden 2024, empat hari selepas saingan Joe Biden, Donald Trump menjadi bekas Presiden AS pertama yang disabitkan kesalahan.
Hunter Biden, 54, tiba di mahkamah untuk perbicaraan pertama anak kepada seorang presiden yang sedang bersidang, di mana beliau akan menghadapi tiga pertuduhan jenayah berpunca daripada pembelian dan pemilikan senjata api pada tahun 2018.
Hunter Biden juga didakwa berbohong mengenai penggunaan dadah haramnya apabila dia membeli revolver berkaliber Colt Cobra .38 dan memiliki senjata itu secara haram selama 11 hari pada Oktober 2018, lapor Reuters.
Beliau telah mengaku tidak bersalah, dan kes itu, yang dikemukakan oleh Penasihat Khas AS, David Weiss, yang dilantik oleh Trump, adalah satu daripada dua kes jenayah yang dihadapinya, dengan pertuduhan cukai persekutuan dibawa secara berasingan di California.
Hakim kes senjata api, Maryellen Noreika, mula menyaring bakal juri pada Isnin, waktu tempatan, dengan ramai daripada mereka mendedahkan mereka mempunyai ahli keluarga atau kenalan dengan masalah dadah, termasuk seorang juri yang menjadi emosi apabila membincangkan mengenai abang iparnya yang ketagihan dadah.
Kebanyakan juri berkata, mereka masih samar-samar dengan kes Hunter Biden tersebut.
“Saya tinggal di Delaware. Anda tidak boleh menghayun kucing tanpa mendengar sesuatu,” kata seorang bakal juri secara berkias kepada hakim.
Beberapa juri lain pula menyatakan pandangan politik yang kuat.
Juri pernah bersua dengan Joe Biden
Seorang daripada juri itu berkata, dia pernah bekerja dengan Wanita Pertama, Jill Biden dan memberitahu pernah beberapa kali bertemu ‘suami Jill’ (Joe Biden).
Dia juga berkata dia menyokong kempen Ferris Wharton, yang tidak berjaya bertanding untuk peguam negara Delaware terhadap Beau Biden, abang Hunter, yang meninggal dunia akibat kanser pada 2015.
Kesemua 12 juri perlu sepakat bersetuju Hunter Biden bersalah melampaui keraguan munasabah untuk mensabitkan kesalahan.
Jill Biden; isteri Hunter Biden, Melissa Cohen Biden dan adik tirinya, Ashley Biden hadir pada perbicaraan di Wilmington, di hadapan Hakim Daerah AS, Maryellen Noreika.
“Jill dan saya menyayangi anak lelaki kami dan kami sangat berbangga dengannya pada hari ini,” kata Joe Biden dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa banyak keluarga mempunyai orang tersayang yang telah mengatasi ketagihan dadah.
Sabit kesalahan Donald Trump
Perbicaraan itu dilakukan beberapa hari selepas Trump disabitkan oleh juri di mahkamah negeri di New York atas 34 pertuduhan jenayah memalsukan dokumen untuk menyembunyikan perbuatan salah guna wang, atas dakwaan dibayar kepada bintang lucah untuk mengelak skandal seks sejurus sebelum pilihan raya AS 2016.
Trump ialah calon Republikan yang mencabar Joe Biden, ahli Demokrat, dalam pilihan raya AS yang dijadualkan pada 5 November ini.
Perbicaraan Hunter Biden memberi peluang kepada Republikan untuk mengalihkan perhatian daripada masalah undang-undang Trump, yang akan dijatuhkan hukuman pada 11 Julai ini.
Beliau telah mengaku tidak bersalah dalam tiga kes jenayah lain yang belum selesai. Menurut Jabatan Kehakiman AS, jika disabitkan dengan semua pertuduhan dalam kes Delaware, Hunter Biden berdepan hukuman penjara sehingga 25 tahun, walaupun defendan biasanya menerima hukuman yang lebih pendek.
Ketagihan kokain Biden
Hunter Biden menghabiskan hujung minggu bersama bapanya di Pantai Rehoboth, Delaware, dengan dua beranak itu berbasikal dan pergi ke gereja bersama-sama pada Sabtu (1 Jun) lepas.
Kes itu dijangka tertumpu pada penggunaan dan ketagihan kokain Hunter Biden selama bertahun-tahun, yang telah dibincangkannya secara terbuka dan yang merupakan bahagian penting dalam autobiografinya pada 2021 berjudul, Beautiful Things.
Beliau memberitahu Noreika pada perbicaraan tahun lalu. mendakwa bahawa dirinya tidak berada di bawah pengaruh dadah sejak pertengahan 2019.
Pendakwa raya akan berusaha untuk membuktikan bahawa Hunter Biden tahu bahawa beliau berbohong apabila dia menanda kotak untuk perkataaan ‘tidak’ di sebelah soalan pada borang pembelian senjata api persekutuan yang bertanya sama ada beliau adalah pengguna bahan terkawal yang menyalahi undang-undang.
Peguam pendakwaan mendedahkan dalam pemfailan mahkamah bahawa mereka mungkin menggunakan butiran yang diperoleh daripada telefon Hunter Biden dan akaun iCloud, termasuk gambar beliau merokok dan bertukar mesej dengan pengedar dadah.
Bekas isteri Biden, saksi perbicaraan
Pihak peguam pendakwaan berkata, mereka mungkin memanggil sebagai saksi iaitu bekas isterinya Kathleen Buhle, yang menuduh Hunter Biden dalam prosiding perceraian mereka pada 2017 sebagai telah membazirkan wang untuk dadah, alkohol dan pelacur.
Sementara, peguam Hunter Biden telah menyatakan bahawa mereka mungkin cuba menunjukkan bahawa anak guamnya itu telah menyelesaikan program pemulihan dadah, sebelum membeli senjata itu dan mungkin menganggap jawapannya pada borang pembelian senjata itu adalah benar.
Perjanjian pengakuan yang akan menyelesaikan tuduhan senjata dan cukai tanpa tempoh penjara gagal pada tahun lalu selepas Noreika mempersoalkan sejauh mana imuniti yang diberikan kepada Hunter Biden.
Peguam Hunter Biden menyalahkan tekanan Republikan atas kegagalan perjanjian pengakuan itu.
Noreika memasukkan beberapa perintah pada hujung minggu lalu yang diminta oleh pendakwa raya dan yang nampaknya melemahkan strategi undang-undang Hunter Biden.
Hakim berkata, pasukan undang-undang Hunter Biden tidak dapat memperkenalkan keterangan pakar bahawa individu yang mengalami gangguan penyalahgunaan dadah mungkin tidak menganggap diri mereka penagih.
Kesaksian itu boleh membantu Hunter Biden menunjukkan bahawa beliau tidak tahu bahawa dirinya berbohong pada borang semakan latar belakang siasatan itu; sedangkan pihak kehakiman dikehendaki membuktikan bahawa Hunter Biden secara sedar, bahawa beliau berbohong.
Terdahulu, pihak kongres Republikan menghabiskan masa bertahun-tahun secara sia-sia cuba mencari bukti hubungan rasuah antara urusan perniagaan Hunter Biden di luar AS, termasuk bekerja untuk syarikat tenaga Ukraine, Burisma, di samping memanipulasi kuasa politik bapanya. – Agensi/HARAKAHDAILY 4/6/2024