PUTATAN: Yang Dipertua PAS Kawasan Putatan, Ustaz Muhammad Akmal Othman mengimbau perjuangan menebas hutan oleh para pejuang parti terdahulu.
Menurutnya, Putatan bermula dengan PAS Tanjung Aru pada tahun 1997 dan surat pendaftaran pada tahun 2000 menyempurnakan ketiga-tiga dewan pemuda, muslimat dan ulamak.
“Kita tetap bersyukur dan terima kasih di atas usaha kerja keras pejuang dahulu. Kini kita adalah tali rantai menyambung perjuangan dan disambung oleh generasi seterusnya dengan suasana dan zaman yang semakin mencabar,” ujarnya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Putatan di sini, kelmarin.
Katanya, PAS kawasan berada di pinggir daerah, bahkan sebahagian kawasan adalah dalam bandar raya Kota Kinabalu dengan penghuninya yang pelbagai.
“Keunikan dan kepelbagaian etnik dan bangsa di Sabah adalah satu peluang dan ruang dakwah yang mesti dimanfaatkan untuk Islam,” ujarnya lagi.
Katanya, kini di kawasan Parlimen Putatan ada tujuh buah PASTI, sebuah SRITI dan SMITI.
Tambahnya, situasi itu bukanlah suatu usaha seharian tetapi memakan masa yang panjang.
“Usaha-usaha mengukuhkan gerak kerja pendidikan Islam iaitu institusi, dakwah, kebajikan dan siasah akan terus diperkasakan.
Beliau turut menyentuh tema mesyuarat agung tahunan kali ini iaitu ‘Muafakat ke Gerbang Jasa’ untuk dihadam oleh seluruh pimpinan kawasan, dewan-dewan dan cawangan-cawangan.
“Tema ini diangkat agar ahli PAS terus memaknai erti musyawarah, perbincangan bermula di cawangan, dewan dan kawasan serta gerak kerja dilakukan secara amal jamaie,” ujarnya lagi.
Beberapa anugerah turut disampaikan dalam mesyuarat kali ini iaitu Anugerah Istiqamah diberikan kepada Muhashibi Razali, Anugerah Badar (Mohd Rizal Nasri), Anugerah Tokoh Khas (Haris Beddu) serta Anugerah Tokoh Guru Institusi Pendidikan PAS kawasan kepada Mohamad Nasir Othman, Syahar Nasrun, Candra Murthy Subagio, Zulzaim Hilmee Abidin dan Amina Wgkong Sakman. – HARAKAHDAILY 4/6/2024