Peguam ibu bapa Zayn Rayyan tarik diri

Mahmud Jumaat
- Advertisement -

SHAH ALAM: Peguam mewakili ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin yang kini direman pihak polis memaklumkan pihaknya tidak lagi mewakili pasangan itu bermula hari ini.

Mahmud Jumaat dari Tetuan Emir Mahmud & Co berkata, keputusan itu terpaksa dibuat atas faktor-faktor tertentu yang tidak dapat dielakkan. 

- Advertisement -

“Saya berdoa supaya perjalanan kes ini berjalan lancar mengikut proses undang-undang sedia ada.

“Sebagai pengamal undang-undang, saya ingin menasihati semua pihak supaya menghormati proses undang-undang dan tidak membuat spekulasi liar mengenai kes ini demi kebaikan bersama,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Mahmud sebelum ini dilantik oleh keluarga ibu bapa Zayn Rayyan selepas pasangan berusia 28 tahun itu ditahan polis di kediaman mereka di Puncak Alam, Jumaat lalu.

Beliau juga hadir semasa prosiding permohonan reman ke atas pasangan itu di Mahkamah Petaling Jaya, Sabtu lalu (1 Jun) sebelum Majistret Ainaa Muhammad Kamal membenarkan reman tujuh hari sehingga Jumaat ini (7 Jun) terhadap mereka.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan sebelum ini berkata, ibu bapa kanak-kanak autisme itu direman seminggu bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan telah ditemui di saliran air kira-kira 200 meter dari kediaman keluarganya di Apartment Idaman, Damansara Damai sebelum disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemui kesan kecederaan pada leher dan badannya. – HARAKAHDAILY 4/6/2024

- Advertisement -