Lupus bot nelayan asing setelah dapat perintah mahkamah

Dr Azman Ibrahim meninjau bot nelayan asing yang ditahan kerana menceroboh perairan negara di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Bot nelayan asing Vietnam yang ditahan kerana menceroboh perairan negara telah diarahkan lupus oleh mahkamah.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bot berkenaan akan diproses untuk ditenggelamkan sebagai tukun tiruan di perairan Terengganu.

“Sebelum ‘disemadikan’ ke dasar laut, kontraktor yang dilantik akan sempurnakan dulu beberapa kerja-kerja berkaitan antaranya mengeluarkan enjin dan komponen-komponen lain daripada bot.

“Yang akan ditenggelamkan hanya badan bot sahaja. Batu kelikir akan diisi ke dalam petak-petak bot sebagai pemberat,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, terdapat berpuluh buah bot nelayan asing di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu yang sedang ditahan sama ada masih dalam proses perundangan di mahkamah atau telah selesai.

“Bila dapat perintah dari mahkamah barulah tindakan pelupusan untuk dijadikan tukun tiruan dapat dijalankan,” katanya.

Terdahulu, pada awal Mei, APMM menahan dua bot nelayan Vietnam bersama hasil tangkapan dan peralatan bernilai RM3 juta.

Menurut Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Komander Maritim Mohd Firdaus Mohd Anuar, bot terbabit ditahan oleh kapal peronda yang menjalankan Op Naga Barat.

“Kedua-dua bot terbabit ditahan pada kedudukan 155 batu nautika timur muara Kuala Terengganu selepas dikejar kira-kira sejam kerana cuba melarikan diri,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 12 orang awak-awak bersama tekong warganegara Vietnam berusia 19 hingga 35 tahun. – HARAKAHDAILY 4/6/2024

- Advertisement -