Kuatkan kesatuan dengan agenda ‘Mesti Menang’

Mustaman Mustain
- Advertisement -

LAHAD DATU: Seluruh ahli dan jentera PAS negeri perlu menguatkan kesatuan dan kefahaman terhadap agenda ‘Mesti Menang’ bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal berlaku pada bila-bila masa.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS negeri, Mustaman Mustain berkata, ahli PAS perlu sedia membantu jentera PAS negeri di setiap DUN yang terdekat, terutamanya DUN tumpuan yang ditetapkan dalam ‘Roadmap Mesti Menang’.

Katanya, setiap DUN tumpu sudah ada sasaran yang perlu dicapai pada PRN kali ini.

Oleh itu, ujarnya jentera PAS negeri perlu bersama mencapai sasaran tersebut bagi memudahkan agenda Mesti Menang itu terlaksana.

Beliau juga menyarankan agar seluruh jentera sudah bermula mewajahkan PAS di media sosial masing-masing.

“Perkara ini penting, kerana media sosial hari ini seperti TikTok, Facebook, Instagram dan X, menjadi sumber primer dalam masyarakat hari ini mendapatkan maklumat terkini.

“Jika kita kurang memaparkan apa yang PAS boleh buat untuk Sabah, maka kita akan sukar mendapatkan keyakinan mereka kepada kita apabila menjelang PRN nanti,” ujarnya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Lahad Datu ke-12, di sini kelmarin.

Tambahnya lagi, setiap PAS kawasan perlu ada ‘Roadmap’ sendiri dalam masa lima, 10 dan 20 tahun akan datang, agar jelas hala tuju parti hendak dibawa ke mana di kawasan masing-masing. – HARAKAHDAILY 4/6/2024