Kelantan keluar unsur nadir bumi bukan radioaktif

Dato' Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan akan mengeluarkan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) tidak lama lagi.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerajaan negeri berusaha menyelaraskan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli.

Menurutnya, jajahan Jeli, Tanah Merah dan Gua Musang dikenal pasti mempunyai simpanan bahan nadir tersebut sebanyak 2.5 juta tan dengan anggaran bernilai RM125 bilion.

“Kita sudah meluluskan dasar melombong NR-REE bagi mengoptimumkan penggunaan hasil bumi di Kelantan, SOP yang dikeluarkan kementerian bersesuaian Enakmen Mineral Kelantan.

“Enakmen itu sedia diterima pakai bagi membolehkan hasil bumi dapat diterokai dan memberi pulangan kepada kerajaan negeri,” katanya menjawab soalan Abdul Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumboh) pada sidang DUN hari ini.

Menurutnya juga pindaan Enakmen Sumber Air Kelantan 2019 dibuat bagi membolehkan penerokaan hasil baharu di Kelantan dilaksanakan.

Tahun lepas, Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan mengadakan lawatan rasmi ke Projek Perintis NR-REE di Malaysia yang terletak di Mukim Kenering, Gerik, Perak.

Pada lawatan itu rombongan kerajaan negeri melawat dan mendapat gambaran terperinci sehingga proses akhir untuk mengeluarkan NR-REE.

Media sebelum ini melaporkan Kelantan memberi tumpuan terhadap penerokaan sumber NR-REE yang dianggar bernilai RM125 bilion daripada jumlah keseluruhan RM700 bilion di negara ini. – HARAKAHDAILY 4/6/2024

- Advertisement -