Kelantan cadang jumlah geran perkapita dikaji semula

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan mengemukakan cadangan supaya jumlah geran perkapita yang diagih kerajaan Pusat dikaji semula memandangkan kali terakhir pindaan dibuat 18 tahun lalu.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, perkara itu dibangkitnya pada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri supaya disemak semula selaras perkembangan semasa.

“Ia diberi mengikut jumlah kepala penduduk selaras peruntukan Bahagian 1 Jadual ke-10 Perlembagaan Persekutuan dan kali terakhir dipinda pada tahun 2006.

“Alhamdulillah kerajaan Pahang dan Perak turut menyokong cadangan itu. Kerajaan Persekutuan memberi respon akan melihat keadaan dan kemampuan kewangan,” katanya menjawab soalan tambahan Nik Bahrum Nik Abdullah (PAS-Chempaka) pada persidangan DUN di sini hari ini.

Sebelum itu, Nik Bahrum meminta penjelasan kerajaan negeri mengenai cadangan jumlah geran perkapita dinaikan berbanding kadar sekarang.

Menteri Besar juga berkata, kadar tersebut pernah dipinda pada tahun 1976, 1981, 2002 dan pindaan terakhir 2006 yang dihitung mengikut peruntukan Bahagian 1 Jadual Ke-10 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya juga kerajaan negeri menerima geran perkapita setiap tahun dan menzahirkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menterjemahkan semangat federalime.

“Jumlah geran perkapita diberikan dalam Kumpulan Wang Disatukan bagi tahun 2019 ialah RM272.55 juta, 2020 (RM296.98 juta), 2021 (RM317.65 juta), 2022 (RM346.91 juta) dan 2023 (RM354.02 juta).

“Anggaran geran tahunan bagi 2024 belum dapat dijelaskan kerana tertakluk kepada polisi dan dasar yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan dari semasa ke semasa,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 4/6/2024

- Advertisement -