Kekuatan Dunia Islam bakal bangkit semula – Khalil

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dunia Islam bukan hanya memiliki kekuatan dari sudut akidah umatnya, tetapi juga kedudukan geografi strategik, politik, jumlah penduduk ramai dan bahan mentah yang banyak di buminya.

Pengerusi Yayasan Permata Ummah, Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi mengemukakan perkara itu pada Syarahan Perdana ‘Survival Umat Islam’ sempena Pesta Buku Antarabangsa 2024 di WTCKL, di sini kelmarin.

“Daripada Lautan Atlantik ke Laut Merah melalui Terusan Suez, masuk kena ikut pintu dunia Islam, Jabal Tariq, Gibraltar. Kemudian masuk ke Laut Maditerranean. Nak masuk ke Lautan Hindi, kena masuk ikut Terusan Suez, dunia Islam.

“Nak keluar ke Lautan Hindi kena masuk ikut Babul Mandab, dunia Islam. Kemudian nak masuk, nak pergi ke Asia jauh seterusnya ke Laut Pasifik kena lalu ikut Selat Melaka. Semuanya berada di dunia Islam. Itu dari sudut laluan orang laut.

“Laluan darat pula. Kalau kita tengok pertemuan antara Afrika dan Asia berada di dunia Islam, di Palestin. Pertemuan antara Asia dan Eropah berada di dunia Islam, di Turki. Dari segi bahan mentah, semua dunia Islam ni kaya gas petroleum,” ujarnya.

Exco Kerajaan Negeri Terengganu dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat ini juga berhujah, jumlah penduduk ramai dan mewakili tenaga manusia juga katanya, banyak di dunia Islam iaitu mewakili 1.4 bilion orang.

Menerobos penerokaan masa depan survival umat Islam, beliau mengetengahkan idea dibawa Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengenai Penyatuan Ummah dan juga Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelasnya, idea yang meneruskan idea Almarhum Prof Dr Najmuddin Erbakan itu menegaskan betapa walaupun umat Islam dalam keadaan lemah pada hari ini tetapi tidak boleh bergantung kepada kuasa-kuasa asing.

“Sama ada Barat ataupun Timur. Dunia Islam mesti membina kekuatan sendiri kerana kita ada anasir-anasir kekuatan tu. Sebab itu usaha-usaha telah berlaku sebenarnya (ke arah Penyatuan Ummah).

“Seperti (idea) D8 merupakan cetusan idea daripada Prof Najmuddin Erbakan untuk mengumpulkan lapan negara Islam yang mempunyai kekuatan-kekuatan yang saya sebutkan tadi iaitu Mesir, Nigeria, Bangladesh, Pakistan, Indonesia, Malaysia, Turki dan Iran.

“Namun sekerat jalan benda itu. Antara yang dibawa ialah untuk memperkasakan ekonomi sesama umat Islam kena guna dinar emas. Hal ini ni sudah lama dibawa oleh Almarhum.

“Jadi ‘move forward’ dunia Islam mestilah membina kekuatan sendiri dan akhirnya masa depan adalah masa depan dunia Islam. Walaupun hari ini orang membicarakan tentang kebangkitan kuasa baru China, Russia, India dan lain-lain lagi.

“Tapi orang lupa untuk membicarakan kebangkitan semula dunia Islam. Kalau berlaku Penyatuan Ummah di kalangan umat Islam, ramuan ini berjaya digabungjalinkan, nescaya dunia Islam akan memimpin semula dunia ini.

“Dengan membawa keadilan dan kesejahteraan kepada seluruh masyarakat antarabangsa,” ujarnya penuh optimis. – HARAKAHDAILY 4/6/2024

- Advertisement -
- Advertisement -