‘Jangan biar pemaju maha kaya, pembeli tak terbela’

Wan Saiful Wan Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa agar memastikan pemaju perumahan bertanggungjawab, terutama bagi memastikan dan tidak berlaku masalah kualiti rumah serta kerosakan yang tidak diendahkan oleh pemaju selepas projek siap.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau menyambut baik kenyataan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong mengenai keperluan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik di Malaysia.

- Advertisement -

“Keperluan membina rumah mampu milik bukan sahaja tertumpu di kawasan bandar malah di kawasan pinggir bandar juga. Di kawasan saya Tasek Gelugor, syarikat pemaju perumahan besar iaitu Scientex Berhad sedang giat membina perumahan mampu milik. 

“Saya mengalu-alukan projek sebegini kerana warga Tasek Gelugor dan kawasan berdekatan memang memerlukannya. Saya difahamkan Scientex sedang giat memperluaskan ‘land bank’ mereka di negeri lain juga,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menyatakan, sejak tahun lalu beliau telah dihujani aduan pembeli-pembeli rumah Scientex mengenai sikap tidak endah Scientex yang amat perlahan membaiki kerosakan rumah mereka. 

“Dinding retak, pintu tercabut, simen beralun dan banyak lagi. Selepas saya masuk campur, ada sedikit penambahbaikan tetapi hanya sementara. Selepas beberapa bulan, Scientex kembali ke perangai lama.”

“Benar, kita perlu lebih banyak rumah mampu milik. Tapi kerajaan mesti pastikan pemaju bertanggungjawab dan jangan menganiaya dan membuli pembeli rumah mampu milik,” ujar Wan Saiful dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pengalaman pembeli rumah Scientex di Tasek Gelugor menunjukkan betapa pentingnya sektor rumah mampu milik diselia lebih ketat.

“Pastikan pemaju berintegriti dan tidak ambil peluang ke atas pembeli,” tegas Ahli Majlis Pemimpin Bersatu ini.

Tambah beliau, dalam laporan oleh majalah Forbes Malaysia, adik-beradik yang memiliki Scientex iaitu Lim Peng Cheong dan Lim Peng Jin berada di kedudukan ke-22 paling kaya di Malaysia dengan nilai bersih AS$885 juta (RM4.2 bilion). 

“Jelas sekali pelbagai projek yang mereka jalankan menjadikan mereka begitu kaya.

“Justeru, dalam usaha mencapai apa yang disebut oleh YB Liew Chin Tong, kerajaan perlu pastikan pemaju projek rumah mampu milik benar-benar menjaga kualiti rumah dan perkhidmatan mereka serta memastikan nasib pembeli terbela.

“Jangan biar pemaju jadi maha kaya tetapi pembeli tidak terbela,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/6/2024

- Advertisement -