Isu GIP-BlackRock, MAHB: Kerajaan wajib  bersifat jujur 

Mardhiyyah Johari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan wajib bersifat jujur dalam memihak kepada soal kemanusiaan lebih-lebih lagi apabila melibatkan sebuah syarikat gergasi pro-Israel, BlackRock.

- Advertisement -

Ketua Pengarah Ameerah Dewan Muslimat PAS Malaysia, Mardhiyyah Johari berkata, setiap rakyat mempunyai perbezaan ideologi politik akan tetapi sejak sekian lama Malaysia adalah penyokong setia kepada rakyat Palestin yang dianiaya.

“Negara ini telah berada di landasan yang betul apabila tiada hubungan diplomatik dengan Israel, dan rakyat negara ini sentiasa rasa terpanggil untuk menghulurkan sumbangan kepada Palestin, dengan harapan yang tidak pernah sirna untuk melihat Palestin merdeka,” katanya.

Menurut beliau, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat meneruskan premis Malaysia melawan kezaliman melampau Israel semasa berucap di Jerman sejak beberapa bulan yang lalu.

Tambahnya, hipokrasi tidak sewajarnya ada dalam soal memperjuangkan anak-anak, wanita dan rakyat tidak berdosa yang dibom semahunya di Gaza dan Rafah. 

“Tiada apa lagi yang mampu menutup kezaliman terbuka Zionis yang disaksikan dunia setiap hari sehingga jumlah negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menzahirkan sokongan rasmi kepada Palestin meningkat kepada 145 daripada 193 negara.

“Justeru, amat menghairankan apabila Malaysia melawan arus kebangkitan kemanusiaan ini dan memilih membuka ruang kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang dikuasai syarikat pro-Israel iaitu BlackRock untuk membeli sebahagian saham Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB).

“Memetik pandangan Profesor Hak Asasi Manusia dari Universiti Jogakuin, Jepun Saul Takahashi yang juga pernah memegang posisi di PBB menggesa Malaysia menghentikan sebarang bentuk hubungan dan perniagaan dengan BlackRock.

Beliau menyatakan BlackRock bukan penyokong pasif Israel akan tetapi menurut Saul Takahashi, merupakan pembiaya utama kepada kompleks ketenteraan Amerika Syarikat yang membolehkan pembunuhan besar-besaran (genosid) Israel ke atas Palestin.

Beliau mempersoalkan kejujuran kerajaan pada masa ini walhal telah lantang bersuara di Jerman mengenai isu tersebut.

“Di mana kejujuran Kerajaan Malaysia di sebalik kelantangan melawan apartheid di Jerman sekiranya membuka ruang kepada pembiaya kompleks tentera yang melakukan apartheid (di bumi Palestin)?

“Ameerah Malaysia merayu agar Kerajaan Malaysia membuat keputusan yang tegas menghentikan semua hubungan atau perniagaan dengan BlackRock dan mengutamakan perjuangan kemanusiaan.

“Malaysia harus kekal bersama Palestin secara jujur pada saat-saat sukar mereka dan terus memelihara kepercayaan besar mereka terhadap Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY (4/6/2024)

- Advertisement -