Galak penduduk di bandar manfaat tanah terbiar

Hilmi Abdullah
- Advertisement -

KOTA BHARU: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan akan melaksana kempen menggalakkan penduduk di kawasan bandar memajukan tanah terbiar dengan pertanian komuniti.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, kerajaan negeri mencari inisiatif bagi membangunkan tanah-tanah terbiar di kawasan bandar.

Katanya Jawatankuasa Pertanian Daerah yang dipengerusi Ketua Jajahan akan bekerjasama dengan Bahagian Kerajaan Tempatan bagi menangani masalah tersebut.

“Ada cadangan dibangunkan aktiviti pertanian komuniti atau bandar dengan tanaman sayur-sayuran atau buah-buahan berkonsep landskap bagi mengindahkan lagi kawasan bandar.

“Tanaman itu dapat dituai dan dijual dapat menampung keperluan harian dan menambah pendapatan isi rumah,” katanya ketika menjawab soalan Ahmad Zakhran Mat Noor (PAS-Kemuning) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Darul Naim di sini hari ini.

Hilmi juga berkata, PBT mencadang supaya pertanian berkonsep kilang tanaman iaitu menanam sayur-sayuran dalam premis bangunan.

“Usaha itu menjadi amalan sebahagian penduduk di Lembah Klang. Kita harap penduduk di Kelantan memanfaat kawasan terbiar dengan aktiviti pertanian.

“PBT akan mengadakan kempen supaya penduduk tidak membiarkan tanah kosong begitu sahaja tanpa sebarang aktiviti,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/6/2024

- Advertisement -