‘Dekati lawan yang hanya menunggu masa untuk karam’

Mohd Amar Abdullah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Allah SWT memberi peluang kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim menamatkan penantian 24 tahun untuk bergelar Perdana Menteri.

Naib Presiden PAS, Dato Mohd Amar Abdullah berkata, peluang tersebut sepatutnya perlu digunakan untuk menyelesaikan masalah ekonomi, menurunkan harga barang, serta mengotakan janjinya untuk menurunkan harga minyak.  

- Advertisement -

“Allah SWT juga memberi kita semua peluang untuk menyaksikan realiti yang terbentang, menilai dengan ilmu dan keinsafan.

“Semalam di Sungai Besar, Selangor, bersama pimpinan, perwakilan dan pemerhati, saya sebut, insya-Allah, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, serta Melaka, akan kita kuasai bersama Putrajaya. 

“Gelombang tidak sering berlaku, begitu juga dengan kebangkitan. Adakah kerana kekuatan kita atau kerana kelemahan lawan? Bagaimana untuk kita terus kuat dan mengekalkan sokongan golongan muda?

“Beramal, berusaha, bekerja, dan berserahlah kepada Allah dan Rasul-Nya untuk menilai apa yang kita kerjakan. Yakin bahawa, Allah kasih kepada orang yang melakukan sesuatu amalan sebaiknya. 

“Siapa sangka kita mampu memegang empat buah negeri serta mempunyai kerusi terbanyak di dalam dewan.

“Kita semua adalah lambang perjuangan. Elok kita, maka eloklah jemaah. Jangan semata-mata menyerahkan semua tugas kepada pimpinan. 

“Dekati lawan yang hanya menunggu masa untuk karam. Hubungan peribadi mesti dibina, ambil peduli dan bertanya khabar, bertegur sapa, bukan dibuat-buat walau berbeza fikrah. Jujur dalam hubungan,” jelas beliau cukup bermakna, dalam media sosial miliknya.

Imam Abu Hanifah menurutnya pernah mengikat jamin jirannya dari tahanan, walaupun sering terganggu dengan kelakuan jirannya yang buruk kerana rasa bertanggungjawab seorang yang alim dan haknya terhadap jiran, sehingga jirannya menangis dan bertaubat, malah menjadi muridnya.

Katanya, berbuat baik kepada manusia akan dapat menundukkan hati-hati mereka dan ketahuilah bahawa manusia akan tunduk kepada kebaikan. 

“Di kampung saya, lawan sentiasa memberikan sokongan apabila tiba waktu mereka memilih, perkara ini berlaku dalam diam sejak Almarhum Tok Guru masih ada lagi dan kekal hingga sekarang. 

“Hubungan peribadi, kebajikan yang dijaga dengan baik ibarat keluarga sendiri. Dasar yang menyatukan kita.

“Boleh jadi kita benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kita, dan boleh jadi kita suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kita. Allah jualah Yang Maha Mengetahui semuanya itu, sedang kita tidak mengetahuinya,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/6/2024

- Advertisement -