‘Car free zone’ Bandar Hilir: Peniaga serah petisyen

- Advertisement -

AYER KEROH: Lebih 1,800 peniaga dan kakitangan serta penduduk yang terjejas akibat pelaksanaan penutupan jalan ‘zon bebas kenderaan’ di Bandar Hilir telah menandatangani petisyen bantahan.

- Advertisement -

Petisyen lengkap ditandatangani mereka yang terjejas tersebut telah diserahkan oleh wakil peniaga terbabit ke Pejabat Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Seri Negeri, di sini hari ini.

Turut menyokong dan bersama dalam serahan itu adalah Ketua Penerangan Pertubuhan Ikatan Cina Melaka, Bryan Goh Han Meng dan Pengerusi Pertubuhan Buruh Wanita Malaysia (PEDULI), Kintan Man.

Wakil kepada Datuk Bandar yang turut disertai Setiausaha Politik Ketua Menteri Melaka, Abdul Hakim Abdul Wahid telah menerima penyerahan petisyen tersebut di lobi kompleks Seri Negeri.

Sementara itu, Bryan dalam sidang medianya berkata, peniaga-peniaga yang terjejas tidak membantah sebarang usaha kerajaan ke arah pembangunan, namun ia harus melihat kesan sebenar kepada orang ramai.

“Sebenarnya kami ingin terlebih dahulu menyampaikan mesej dan juga keadaan sebenar daripada peniaga mahupun penghuni sekitar kawasan itu kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka supaya beliau sedar perkara ini sedang berlaku.

“Ini bagi membuka satu ruang untuk wakil daripada peniaga-peniaga di sana bagi berbincang, berunding bagi mencari satu jalan penyelesaian bagi mendapatkan satu titik persefahaman,” katanya kepada wartawan.

Tambah beliau, sejak dari mula lagi, pihaknya tidak ada niat untuk menuduh, memburuk, untuk menyalahkan sesiapa, apatah lagi jauh lagi untuk bermusuh.

“Sebab kami anak tempatan, kami orang Melaka. Cuma apabila kami telah turun di kawasan itu dan membuat tinjauan daripada peniaga-peniaga di kawasan setempat, mereka menerangkan keadaan sebenar dan memberitahu kami apakah punca sebenar,” ujarnya.

Kata Bryan, pihaknya boleh merumuskan bahawa tindakan Kerajaan Negeri Melaka itu bukan sahaja menyusutkan pendapatan peniaga, malah turut mengurangkan kedatangan pelancong ke negeri itu.

“Saya percaya kebanyakan pelancong domestik yang melawat Negeri Melaka akan turut merasakan kesusahan ini oleh kerana sekatan atau penutupan jalan raya di kawasan tersebut, semestinya akan ada mereka yang terasa.

“Mungkin kita boleh buat satu petisyen di dalam media sosial kita tanya mereka pelancong, yang datang melawat Melaka apakah mereka suka dengan keadaan sedemikian,” katanya.

Tambah beliau, akibat penutupan jalan itu para pelancong terpaksa berdepan dengan kesesakan dan kekurangan pakir menyebabkan mereka tidak mahu lagi datang dan mereka beralih ke tempat-tempat lain untuk melancong.

“Sekali lagi kami berharap agar pihak kerajaan dapat mendengar luahan hati dan juga pandangan daripada yang berniaga yang mencari rezeki di sana. Itu harapan kami dan akhirnya mencapai satu kesepakatan. Itu adalah tujuan kami,” ujarnya.

Sementara itu, Kintan dalam sidang media itu berkata, pihaknya telah melakukan tinjauan di kawasan terjejas dan mendapati ramai pekerja yang bakal terjejas dengan situasi tersebut jika peniaga-peniaga di situ terjejas.

“Kami dari NGO PEDULI mendapati memang ada risiko pekerja-pekerja ini akan hilang pekerjaan dan ini membimbangkan. Ia juga akan menjejaskan tanggungan mereka, keluarga mereka.

“Kita mengharapkan agar kerajaan mempertimbangkan perkara ini agar tidak berlarutan. Kami juga berharap agar pihak ADUN Perikatan Nasional memperjuangkan perkara ini,” ujarnya.

Dalam majlis yang sama, Bryan turut menyerahkan salinan petisyen tersebut kepada Ketua Pembangkang DUN Melaka, Dr Yadzil Yaakub agar ia dapat diperjuangkan oleh pihak Perikatan Nasional di dalam DUN.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan PAS Melaka, Ustaz Wan Zahidi Wan Ismail dan Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Pekerja dan Modal Insan PAS Negeri, Azmi Aziz serta Ketua Armada BERSATU Melaka, Arib Abu Kasim.

Untuk rekod, fasa percubaan zon bebas kenderaan itu mula dilaksanakan pada awal Ogos lalu yang membabitkan penutupan jalan kira-kira 2.3 kilometer.

Ia bermula di Jalan Istana, Jalan Mahkamah, Jalan Gereja–Lorong Gereja-Jalan Laksamana–sebahagian Jalan Tun Khalil Yaakob (sebahagian jalan untuk laluan kenderaan)–Jalan Parameswara–Jalan Kota–Jalan Istana.

Namun, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman mengumumkan tempohnya dilanjutkan dari jam 6 petang hingga Ahad pada jam 12 tengah malam bermula 22 Disember tahun lepas sehingga menimbulkan kesukaran kepada para peniaga. – HARAKAHDAILY 4/6/2024

- Advertisement -