Bahagian Undang-undang kaji draf RUU Pentadbiran Mahkamah Syariah

Mohd Asri Mat Daud
- Advertisement -

KOTA BHARU: Draf Rang Undang-undang (RUU) Pentadbiran Mahkamah Syariah yang baharu telah dibentang pada mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, mesyuarat tersebut turut memutuskan mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji semula penggubalan draf cadangan undang-undang syariah.

Katanya, draf baharu terbabit bagi menggantikan Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah Negeri Kelantan 1982.

“RUU baharu akan lebih komprehensif dan sekarang berada di peringkat kajian terperinci Bahagian Undang-undang Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

“Kajian turut menyentuh keperluan empat atau lima peringkat mahkamah syriah dengan mengambil kira pelaksanaan di negeri-negeri lain dari sudut polisi dan perancangan Kerajaan Persekutuan untuk melaras penyeragaman dan pemerkasaan Mahkamah Syariah di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Zameri Mat Nawang (PAS-Jelawat) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan hari ini.

Pada bulan lepas kerajaan negeri menganjur Konvensyen Pemantapan Perundangan dan Institusi Syariah bagi memperkasakan perundangan Islam di Kelantan ekoran 16 seksyen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 dibatalkan Mahkamah Persekutuan.

Mohd Asri juga berkata, pemerkasaan mahkamah syariah dalam penggubalan tersebut meliputi peluang rayuan kes syariah dua peringkat iaitu Mahkamah Rayuan Syariah dan Mahkamah Utama Syariah. – HARAKAHDAILY 4/6/2024

- Advertisement -