Bagaimana membunuh organisasi?

- Advertisement -

HARI ini kami meluangkan masa menziarahi ayahanda Ustaz Abdul Halim Arshat. Beliau merupakan mantan Ketua Pemuda PAS Pusat dari tahun 1987 hingga tahun 1989.

- Advertisement -

Setelah melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda, Ustaz Abdul Halim diberi kepercayaan oleh Almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Noor memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung PAS dari tahun 1989 hingga tahun 1998.

Ketika menggalas tugas sebagai Setiausaha Agung PAS, Ustaz Abdul Halim banyak menulis makalah dan catatan mengenai hal-hal berkaitan pengurusan organisasi.

Ketika berbual, kami temui satu tulisan beliau yang sangat tajam menikam. Tulisan itu ditulis menggunakan ‘tulisan tangan’ dalam bahasa jawi. ‘Bagaimana Membunuh Organisasi’, itulah tajuknya.

Tulisan berkenaan memang pedas buat mereka yang makan cili. Satu sindiran yang amat tajam buat mereka yang bersikap sambil lewa dalam organisasi.

Biasanya sesuatu tulisan ditulis dalam bentuk arahan untuk dilaksanakan bagi memperkuatkan organisasi. Namun tulisan ini ditulis secara ‘reverse’, apa yang patut dibuat untuk membunuh organisasi. Memang kreatif dan unik seni karya Ustaz Abdul Halim ini.

Sebagai seorang yang pernah mengetuai organisasi Dewan Pemuda PAS Pusat dan pernah mengetuai pengurusan organisasi PAS selama sembilan tahun, sudah pasti terlalu banyak pengalaman dan kemahiran yang wajar kami pelajari sebagai anak muda.

Selain itu, pengalaman beliau di dalam politik juga tidak kurang hebat apabila pernah diberi tugas bertanding sebagai calon PAS di dalam lapan pilihan raya sejak tahun 1978 hingga tahun 1995.

Salah satu kerusi yang pernah ditandingi Ustaz Abdul Halim ialah kerusi Parlimen Kota Setar (kini dikenali sebagai Alor Setar) pada tahun 1986.

Dewan Pemuda PAS Malaysia kini dalam usaha mengumpulkan sebanyak mungkin bahan sejarah perjuangan PAS khususnya berkaitan dengan Dewan Pemuda PAS.

Bahan sejarah ini seterusnya akan didokumentasikan dan diarkibkan melalui Unit Arkib DPPM. Kunjungan ziarah bertemu Ustaz Abdul Halim Arshat hari ini merupakan satu usaha bagi mencapai tujuan tersebut.

Legasi kepimpinan dan pengurusan yang ditinggalkan oleh Ustaz Abdul Halim banyak memberi jasa kepada organisasi PAS dan Dewan Pemuda. Kini, legasi beliau disambung pula oleh anaknya Ustaz Syarhan Humaizi Abdul Halim yang merupakan Ketua Sektor Sumber Manusia Dewan Pemuda PAS Malaysia. 

Semoga ayahanda Ustaz Abdul Halim Arshat terus diberi kesihatan dan keafiatan oleh Allah SWT.

AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN
4 Jun 2024 – HARAKAHDAILY 4/6/2024

(NOTA: Tulisan berkenaan ada di ruangan foto di bawah)

- Advertisement -