Wakil rakyat langgar disiplin parti perlu kosong kerusi

Dr Wan Nik Wan Yussof
- Advertisement -

KOTA BHARU: Seseorang wakil rakyat yang mengisytiharkan sebagai wakil bebas sedangkan sebelum itu menang bertanding atas parti lain dianggap sebagai melompat parti.

- Advertisement -

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Dr Wan Nik Wan Yussof berkata, wakil rakyat yang bertukar parti kepada bebas dikategori melompat parti kerana bebas bukan ditafsir sebagai parti.

Begitu juga katanya apa yang berlaku terhadap enam Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytihar menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedangkan pada Pilihan Raya Umum lepas mereka menang atas tiket Bersatu.

“Sekiranya Ahli Parlimen itu isytihar jadi bebas sedangkan mereka tanding dan menang atas kapasiti Bersatu, maka dikira terang-terang sebagai melompat parti,” katanya di sini.

Sebelum ini enam Ahli Parlimen Bersatu mengisytihar menyokong Perdana Menteri iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli).

Selain itu, Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Langkah serupa juga dijejaki ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari yang mengisytihar sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Sabtu lepas, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu 25 Ahli Parlimen dan 58 ADUN Bersatu menandatangani surat menyatakan kesetiaan kepada parti tersebut.

Arahan itu dibuat selaras dengan pindaan perlembagaan parti yang diluluskan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) baru-baru ini.

Dr Wan Nik juga berkata, arahan Majlis Tertinggi Bersatu menepati kehendak Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan mengenai antilompat parti.

Menurutnya apabila Ahli Dewan Rakyat atau ADUN terbukti melanggar disiplin parti, maka mereka tiada pilihan dan hendaklah mengosongkan kerusinya.

“Menurut Fasal 10 Perlembagaan Bersatu berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti dinyatakan secara jelas di bawah Fasal 10.4, 10.5 dan 10.6.

“Fasal 10.4 memperuntukkan mana-mana ahli Bersatu yang merupakan wakil rakyat yang melakukan ketidakpatuhan terhadap apa-apa arahan dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi selari dengan Fasal 10.5, disifatkan terhenti keahliannya daripada parti itu secara serta-merta,” ujarnya.

Malah Bersatu akan memaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengenai enam wakil rakyat daripada parti itu yang dilucutkan keahlian mereka. – HARAKAHDAILY 3/6/2024

- Advertisement -