Tujuh wakil rakyat Bersatu gagal jawab arahan bertulis

Razali Idris
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menghantar notis kekosongan kerusi selepas keahlian enam Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) digugurkan dari parti secara automatik pada akhir Mei lalu.

Ketua Penerangan Bersatu, Senator Datuk Razali Idris berkata, notis kekosongan itu akan dihantar oleh Setiausaha Agung, Dato’ Seri Hamzah Zainudin kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari Abdul dalam tempoh terdekat.

- Advertisement -

Sementara, notis kekosongan kerusi DUN Selat Klang pula akan dihantar kepada Yang di-Pertua DUN Selangor, Lau Weng San.

Menurut Razali, wakil rakyat Bersatu berkenaan gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti dalam tempoh 14 hari seperti ditetapkan.

“Notis kekosongan kerusi Parlimen itu bertepatan dengan pindaan ke atas Fasal 10, Perlembagaan Bersatu yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS),” katanya dalam laporan media tempatan, hari ini.

Menurut sumber, kerusi Parlimen itu kosong selepas enam Ahli Parlimen Bersatu menyokong Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari, menyokong Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Mereka yang terbabit ialah Dato’ Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Dato’ Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dato’ Indera Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Sebelum ini, Zulkafperi Hanapi dan Abdul Rashid dimaklumkan sudah terhenti secara automatik keahlian parti selepas mereka menyertai kempen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Mengulas lanjut, Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu berkata, Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan DUN akan memaklumkan kekosongan kerusi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan pilihan raya semula diadakan.

“Kita serahkan tanggungjawab itu kepada Speaker dan Yang di-Pertua DUN untuk memaklumkan kekosongan kerusi bagi membolehkan PRK diadakan,” katanya.

Terdahulu, Hamzah Zainudin telah memberikan surat yang mengeluarkan arahan khusus kepada tujuh wakil rakyat Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan.

“Adalah diingatkan bahawa Yang Berhormat diperlukan untuk mengakui, menerima dan mengesahkan pematuhan semua arahan dalam tempoh 14 hari dari tarikh arahan tersebut (bermula 17 Mei).

“Kegagalan Yang Berhormat untuk berbuat demikian akan menyebabkan keahlian mereka dalam parti Bersatu terhenti dengan serta-merta menurut Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/6/2024

- Advertisement -