TG Abdul Hadi, Muhyiddin zahir ucapan sempena Hari Keputeraan Agong

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke kedai makan di Kampung Baru dan bergambar bersama rakyat jelata. (FOTO: Facebook/Sultan Ibrahim)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini.

Sementara mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagi pihak Perikatan Nasional turut mendoakan Seri Paduka Baginda dalam keberkatan agar dipermudahkan oleh-Nya dalam mengemudi negara.

- Advertisement -

“Semoga Allah SWT juga mengurniakan perlindungan dan rahmat-Nya buat Seri Paduka Baginda Tuanku dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah serta putera-putera, puteri-puteri dan seluruh kerabat. Dirgahayu Tuanku, Daulat Tuanku,”katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Sementara itu, keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Nasi Lemak Wanjo, di sini, hari ini, nyata mengejutkan dan membawa keterujaan kepada pengunjung yang ada di restoran yang terletak di Kampung Baru berkenaan.

Baginda turut berkenan berangkat ke kedai makan yang popular di Kampung Baru itu, untuk santapan sarapan pagi.

“Sultan Ibrahim juga berkenan meluangkan masa untuk beramah mesra serta bergambar dengan rakyat jelata,” titah baginda menerusi catatan di laman Facebook.

Rakyat Malaysia menyambut cuti umum sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong hari ini. – HARAKAHDAILY 3/6/2024

- Advertisement -