‘Tak semua sokong apa yang suami Hannah Yeoh dapat…’

Zaidy Abdul Talib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Tidak semua sokong apa yang suami Hannah Yeoh dapat, begitulah juga tidak semua boleh sokong hujah (mantan Ahli Parlimen Damansara) Tony Pua.

“Dia boleh ‘backup’ (pertahankan) Hannah Yeoh tapi dia tidak boleh ubah apa yang orang sudah rasa dengan kerajaan hari ini terutama langkah-langkah songsang DAP.”

- Advertisement -

Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Selangor, Zaidy Abdul Talib berkata demikian, mengulas mengenai isu rundingan terus pelantikan syarikat milik suami Hannah Yeoh, Asia Mobility Technologies Sdn. Bhd. (Asia Mobility) sebagai pengendali Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh kerajaan negeri Selangor.

Menurut beliau, pelantikan secara rundingan terus itu sudah semakin ‘terang lagi bersuluh’ telah menampakkan keterlanjuran mereka dan tidak boleh berselindung lagi.

“Ceritanya mudah sahaja, mereka tidaklah mahu sangat lawan nepotisme atau kronisme dahulu. Sebab itu mudah-mudah sahaja mereka terlanggar apa yang kononnya mereka lawan.

“Konon-konon nak dilihat bersih, tapi mandi pun tidak. Konon-konon mangsa persepsi, mereka pun menang kerana buat persepsi,” katanya dalam satu kenyataan.

“Jika bercakap soal prestasi dan merit, jangan pelik semua ahli keluarga orang politik nanti kerjanya buat syarikat, modal banyak, ada merit kemudian dapat tender kerajaan sebab ada prestasi,” katanya.

Tambah beliau, Tony Pua sepatutnya nasihatkan orang yang beliau gelar rajin, benar dan persis malaikat itu untuk juga berani, berani menjunjung prinsip.

“Semua yang Tony Pua cadangkan untuk Hannah Yeoh itu bukan tatakelola wawasan PMX (Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim) jika Hannah Yeoh tidak berani larang suami terima tender kerajaan negeri untuk jaga nama baik isteri dan imej bersih kerajaan.

“Biarlah berbaloi sedikit untuk panggil kerajaan hari ini Kerajaan Madani,” katanya.

Terdahulu, Tony Pua menegur mengkritik Hannah Yeoh yang merupakan Menteri Belia dan Sukan berhubung isu pemberian kontrak DRT oleh kerajaan Selangor kepada syarikat yang dikaitkan dengan suaminya, Ramachandran Muniandy – HARAKAHDAILY 3/6/2024

- Advertisement -