‘Masa berbaki tidak panjang, jom tambah kemantapan’

Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.
- Advertisement -

KUANTAN: “Masa yang berbaki tidak panjang, jadi jomlah tambah kemantapan,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.

- Advertisement -

Beliau juga mengingatkan seluruh ahli supaya tidak leka dengan kemenangan yang sudah diperolehi.

“Kalau kita leka musuh akan sentiasa mencari jalan untuk merampas apa yang kita sudah ada sedangkan kita bergerak untuk menobatkan PAS teraju Pahang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang.

“Jadikanlah perhimpunan kali ini, medan yang paling baik untuk kita menentukan strategi dan hala tuju gerak kerja kita dan menghalusi pendekatan demi pendekatan yang perlu untuk kita perbaharui, bagi mempertahankan Parlimen Kuantan, DUN Tanjung Lumpur dan merampas satu DUN lagi, DUN Inderapura, insya-Allah,” ujarnya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kuantan kali ke-36 di Dewan Utama Haji Md Gazali, PUTIP Kampung Peramu, dekat sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mengingatkan pendukung parti agar menghayati roh dan semangat perjuangan yang dibawa oleh Rasulullah SAW yang berasaskan aqidah Islamiah.

“Jadi jangan kamu rasa resah gelisah, jangan rasa rendah diri, jangan rasa terhina dan jangan rasa bimbang, kerana kamulah orang-orang yang akan mendapat kemenangan sekiranya kamu beriman kepada Allah SWT.

“Jadi kita jangan malu-malu memperjuangkan PAS sebagai medan dakwah, tarbiah dan politik dalam Masyarakat. Jangan malu-malu mempamerkan wajah kita yang sebenarnya sebab semua masyarakat dah kenal siapa dan apa itu PAS,” katanya lagi.

Justeru, katanya perjuangan hendaklah diteruskan dengan mengenal pasti kalangan penyokong parti.

Beliau juga menyeru supaya seluruh ahli supaya Bersatu dan mengukuhkan ukhuwah.

“Kerja biar berterusan tanpa ada waktu rehat. Rangka gerak kerja. Kenal pastikan siapa yang menyokong kita dan kita hendaklah sokong menyokong atau bahu membahu antara satu sama lain, bersatu dan perkukuh ukhwah,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 3/6/2024

- Advertisement -