Mampukah Umno merampas kembali kerusi PM PRU-16 nanti?

- Advertisement -

SAYA menerima klip video ucapan seorang Ketua Umno bahagian ketika beliau merasmikan persidangan mesyuarat agung tahunan sebuah cawangan Umno dalam bahagiannya baru-baru ini.

Beliau menyebut: “Kita (Umno) pertahankan dulu (kerajaan ini) sementara nak bekerja ke arah Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16). PRU-16 wajib kita kerja keras untuk kembali sebagai parti dominan dan pastikan kerusi Perdana Menteri kembali kepada Umno dan BN.”

Umno walaupun merupakan sebahagian parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan di bawah PM ke-10 ini, namun sehingga kini keberadaannya menyokong Pakatan Harapan (PH) yang didominasi DAP masih sukar diterima oleh ahli-ahli dan sebahagian pimpinannya khasnya di akar umbi. Sukar ahli-ahli menghulur tangan menerima dan bekerjasama dengan DAP.

- Advertisement -

Mana mungkin mudah bagi sebuah parti yang dahulunya menjuarai perjuangan kebangsaan Melayu, hari ini tunduk dan bekerjasama dengan parti yang bertentangan dengan agendanya. Mungkin Presiden Umno yang dianugerah jawatan Timbalan Perdana Menteri (terlepas pula dari 47 kes yang dihadapinya), dan beberapa pimpinan kanan yang berjawatan sanggup memikulnya, tetapi rata-rata ahli dan penyokong akar umbi masih resah gelisah hinggalah ke hari ini.

Sebagai rakan kongsi yang kecil, Umno yang dahulunya tunggak Kerajaan Persekutuan hari ini terpaksa memain peranan sekadar pelakon tambahan, menjeritlah sekuat mana pun, suaranya tidak lagi segagah dan berpengaruh sebagaimana dahulu malah boleh sahaja diperlekeh dan ditolak begitu sahaja.

Ketua Pemuda Umno contohnya cuba menjuarai isu stokin dengan kalimah Allah yang dijual di KK Mart, beliau lantang bersuara, menuntut tindakan tegas diambil dan memanggil supaya diboikot kedai serbaneka ini, namun akhirnya beliau sedar bahawa beliau tidak mampu melanggar arus kerana PH khasnya DAP lebih dominan dalam kerajaan.

Begitu juga isu pengambilan bukan Melayu ke UITM, beliau lantang membantah, sesuatu yang memang wajar memandangkan tujuan asal ITM dan kini UiTM itu adalah untuk membuka peluang dan memberi kemudahan kepada anak-anak luar bandar dan golongan bumiputera memperoleh kelulusan akademik peringkat IPTA, tetapi kelihatan suaranya tidak menerima layanan sewajarnya dari kerajaan yang Umno hanyalah merupakan rakan kongsi yang kecil.

Demikian juga layanan dingin yang Umno terima dari kerajaan negeri yang didominasi PH, di Selangor contohnya jawatan ahli majlis PBT dan ketua kampung terpaksa ditolak kerana tuntutan Umno tidak dilayan (Umno kini cuma ada 2 kerusi di Selangor).

Dalam waktu yang sama laporan dari Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu menunjukkan yang semua saluran anak muda Melayu di sana baru-baru ini dimenangi oleh calon PN.

Anak-anak muda tidak lagi bersama Umno dan menurut satu laporan sehinggakan cawangan-cawangan Umno sukar menubuhkan jawatankuasa pemuda cawangan.

Jika beginilah nasib Umno, sukar untuk ia kembali bangkit apatah lagi mahu menuntut jawatan Perdana Menteri yang pernah disandang satu ketika dahulu.

Untuk kembali bangkit dan mungkin kekal relevan seperti dahulu, ijtihad politik presidennya iaitu untuk bekerjasama dengan PH perlulah disemak semula.

Tidak mustahil jika Umno berani kembali bangkit menjuarai politik penyatuan ummah dengan parti-parti-parti Melayu Islam yang lain, mungkin ada harapan buatnya diterima kembali oleh orang Melayu.

Namun jika ia memilih taksub dengan ijtihad presidennya, sukar Umno bangkit kembali malah tidak mustahil akan semakin mengecil dan berkemungkinan pupus dalam PRU-16 nanti sebagaimana nasib Parti Negara dan Semangat 46 dahulu. Fikirkanlah. – HARAKAHDAILY 3/6/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -