Belum keluar lesen balak Hutan Simpan Gunung Bongsu

- Advertisement -

ALOR SETAR: Jabatan Perhutanan Negeri Kedah menegaskan sehingga kini pihaknya belum lagi mengeluarkan lesen pembalakan bagi kawasan Hutan Simpan Gunung Bongsu, Kulim.

- Advertisement -

Menurut kenyataan jabatan tersebut, permohonan pembalakan di tanah seluas 500 hektar di gunung itu telah diluluskan pada 14 Disember 2014 melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Hasil Bumi Negeri Kedah.

“Permohonan pembangunan ladang hutan di Kompartmen 15, 42 dan 43, Hutan Simpan Gunung Bongsu yang seluas 500 hektar diluluskan kepada Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed).

“Projek Ladang Hutan itu juga telah diluluskan Laporan Environmental Impact Assessment (EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar pada 25 Jun 2021,” jelas kenyataan berkenaan melalui edaran kepada media, hari ini.

Maklumnya lagi, di kawasan itu juga belum dijalankan kerja-kerja pembalakan bagi tujuan pembangunan ladang hutan dan masih dalam proses penyediaan Rancangan Pengurusan Ladang Hutan (RPLH).

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan terdapat bantahan penduduk kampung berkaitan kelulusan pembalakan di hutan simpan berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan kebimbangan penduduk setempat bahawa pembalakan di situ dikhuatiri membawa implikasi tanah runtuh, banjir kilat, banjir lumpur dan sebagainya melanda kawasan persekitaran.

Justeru, Jabatan Perhutanan menegaskan, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi-agensi teknikal lain bagi memantau kawasan kelulusan ini sekiranya ia dibangunkan kelak untuk memastikan impak alam sekitar yang minimum kepada penduduk.

“Kawasan ini akan dijalankan pembalakan fasa 1 terlebih dahulu di mana pihak pemaju akan menanam sepenuhnya di kawasan tersebut dengan spesies Ladang Hutan (Albizia falcataria @ Batai) sebelum fasa berikutnya dibenarkan untuk dijalankan pembalakan,” jelas kenyataan itu lagi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor juga ada menjelaskan perkara berkenaan pada sidang media sempena Hari Alam Sekitar Peringkat Negeri Kedah, di Dataran Tsunami, Kuala Muda, semalam.

Menurut beliau, tiada sebarang kelulusan projek pembalakan dan perlombongan dikeluarkan oleh kerajaan negeri sejak beliau mentadbir Kedah 17 Mei 2020 lalu.

Keputusan dan pendirian itu katanya adalah untuk menjaga kelestarian dan sumber alam semulajadi di negeri itu.

“Projek pembalakan atau pelombongan (kuari) baharu yang ada hanya meneruskan projek-projek yang telah diberi kelulusan oleh kerajaan terdahulu,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 3/6/2024

- Advertisement -