500 penduduk sertai Pesta Kaamatan anjuran PAS Sepanggar

- Advertisement -

SEPANGGAR: Hampir 500 penduduk Kampung Boronuon dan tujuh kampung sekitarnya hadir memeriahkan Pesta Kaamatan anjuran PAS Sepanggar di sini, kelmarin.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Sepanggar, Dr Aliakbar Gulasan berkata kehadiran orang kampung yang terdiri daripada etnik Dusun, Sungai, Murut, Bajau dan Bugis untuk saling kenal-mengenal.

Menurutnya, ada dalam kalangan pimpinan atau masyarakat yang memandang serong dengan PAS kerana kononnya ekstrem, parti Semenanjung, namun hakikatnya ahli-ahli PAS juga adalah orang Sabah daripada kalangan kaum bumiputera Sabah, membawa pandangan politik berteraskan keadilan dan keharmonian, kejujuran, intergriti, dosa dan pahala.

“PAS bersifat inklusif dan bersama masyarakat kerana menyahut seruan Allah SWT bahawa kepelbagaian kaum itu untuk saling kenal-mengenal, dan dalam kalangan kita yang paling baik bukan kerana bangsa namun yang paling banyak melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah Taala.

“Kita mahu mewujudkan keadilan dan keharmonian berlandaskan perintah Tuhan. Kita yakin kehidupan kita lebih makmur dan lebih bersandarkan kepada kebaikan dan berusaha meninggal perkara yang mendatangkan dosa,” ujar beliau pada majlis perasmian.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada ahli jawatankuasa pelaksana dan semua penduduk kampung yang hadir.

Turut hadir ialah Yang Dipertua PAS Kota Kinabalu, Ustaz Tarmizi Yahya, Ketua Dewan Pemuda PAS Sepanggar, Ah Rizal Abdul Latif, Ketua Dewan Muslimat PAS Sepanggar, Ummu Ahnaf Abu dan Ketua Kampung Boronuon, George Elah.

Pelbagai aktiviti dan sukan rakyat dianjurkan seperti tarik tali, lumba dalam karung, gusti tangan, Unduk Ngadau kanak-kanak dan hidangan makanan tradisi dipertandingkan.

“Inilah pesta pertama dan paling ramai dianjurkan di kampung kami sempena Kaamatan setelah sekian lama, terima kasih kepada pihak penganjur memilih Kampung Boronuon sebagai tapak program,” kata penduduk setempat, Evelyn Biun. – HARAKAHDAILY 3/6/2024

- Advertisement -