Wakil rakyat jadi ‘tulang belakang Rumah Budi 2.0

- Advertisement -

PADANG TERAP: Melalui konsep ‘Jimat, Cermat dan Cepat’, Rumah Budi 2.0 dapat dibina dalam tempoh tiga bulan dengan kos yang rendah, kata ADUN Pedu, Mohd Radzi Mat Amin, di sini.

- Advertisement -

Jelasnya, anggaran asal rumah yang berkapasiti tiga bilik, satu bilik air serta ruang dapur dan tamu itu bernilai RM80,000, tetapi Rumah Budi 2.0 itu dapat disiapkan dengan kos hanya RM69,200 sahaja.

“Alhamdulillah, dalam seminggu lagi, pemiliknya Azira Abdullah boleh pindah dan tinggal di sini. Cuma tunggu bekalan air dan elekrik dimasukkan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis Perasmian Rumah Budi 2.0 di Kampung Bemban, Naka, di sini hari ini.

Radzi selaku Pengurus Projek Rumah Budi 2.0 itu memaklumkan, kerja-kerja membina rumah berkenaan bermula pada penghujung Februari lalu dan siap sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan sahaja.

“Terima kasih kepada penyumbang seluruh negara, nanti sumbang lain untuk dilaksanakan di tempat lain pula,” seru beliau.

Ahli Parlimen Padang Terap, Ustaz Nurul Amin Hamid merakamkan setinggi penghargaan kepada Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat kerana memilih Padang Terap pada projek kali ini.

“Terima kasih kepada yang sanggup beli kupon dan infak kepada projek ini. Perniagaan fisabilillah ini walaupun sikit tetapi berkat kerana diikat atas dasar infak di jalan Allah.

“Diharap penerima Rumah Budi ini dapat tinggal selesa di sini,” katanya yang juga merupakan Pengarah Projek Rumah Budi 2.0 itu pada Majlis tersebut.

Nurul Amin turut menyifatkan pembinaan Rumah Budi tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar kerana Mohd Radzi Mat Amin sendiri menjadi ‘tulang belakang’ pembinaan termasuk mendahulukan wang beliau.

Majlis yang dirasmikan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Ahmad Yahaya ini turut dihadiri oleh Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat, Dr Rosni Adam.

Sementara pada majlis itu juga, diadakan penyampaian khairat kematian Skim PAS kepada  empat penerima dan disampaikan oleh Dato’ Ahmad Yahaya. – HARAKAHDAILY 2/6/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!