Tiga negara Eropah iktiraf negara Palestin

Semakin banyak negara mengiktiraf negara Palestin.
- Advertisement -

IRELAND, Norway dan Sepanyol telah mengumumkan untuk mengiktiraf negara Palestin secara rasmi. Pengiktirafan ini dilihat sangat signifikan bagi rakyat Palestin dalam siri perjuangan menentang penjajahan Zionis Israel.

Selain memperkukuhkan legitimasi atau pengesahan Palestin sebagai sebuah negara yang berdaulat, pengiktirafan di peringkat antarabangsa juga akan memberi tekanan diplomatik kepada Israel.

- Advertisement -

Pengiktirafan secara rasmi oleh tiga buah negara ini dan lebih 140 buah negara lain sepatutnya menjadi momentum untuk memberikan tekanan diplomatik yang lebih besar agar Israel kembali ke meja perundingan damai.

Pengiktirafan ini juga akan menambah kekuatan moral dan politik bagi negara Palestin ketika berhadapan dengan Israel dan sekutunya termasuk Amerika Syarikat.

Pengarah di Kementerian Luar Israel, Yaakov Blitshtein dilaporkan telah memanggil duta-duta besar Ireland, Norway dan Sepanyol di negara itu lalu memberikan teguran atas keputusan yang dibuat oleh negara mereka untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara yang berdaulat.

Menurutnya akan ada kesan yang serius terhadap hubungan dengan negara-negara tersebut susulan keputusan yang diambil itu.

Dalam perkembangan lain, pada 24 Mei lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah memerintahkan Israel untuk menghentikan serangan mereka di Rafah.

Perintah itu dianggap sebagai keputusan penting yang meningkatkan tekanan antarabangsa terhadap Israel setelah lebih tujuh bulan serangan dilakukan ke atas Gaza.

Pada masa sama, ICJ mengeluarkan keputusan mengenai langkah-langkah lanjutan untuk menghentikan genosid warga Palestin di Gaza seperti yang dituntut oleh Afrika Selatan ke mahkamah tertinggi PBB di Den Haag, Belanda pada 10 Mei lalu.

Dalam tuntutannya, Afrika Selatan telah meminta agar Pasukan Pertahanan Israel (IDF) diperintahkan untuk berundur dari Gaza. ICJ telah mengarahkan Israel untuk menghentikan genosid dan membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke dalam Gaza.

Sebagai respon, Israel telah menuduh Afrika Selatan bertindak sebagai proksi Hamas dan mengatakan Israel tidak akan gentar untuk membela diri.

Walaupun keputusan ICJ disifatkan tegas terhadap Israel, namun tidak ada mekanisme yang dapat digunakan untuk menguatkuasakan keputusan tersebut. Seperti yang telah dijangka, Israel tetap menafikan sekeras-kerasnya dakwaan melakukan genosid dan memberi isyarat akan mengabaikan sebarang arahan untuk menghentikan operasi ketenteraannya di Gaza. – HARAKAHDAILY 2/6/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -