Tak mustahil Perikatan Nasional tawan Kota Melaka

- Advertisement -

KOTA MELAKA: Bukan suatu perkara yang mustahil untuk PAS dan Perikatan Nasional menawan Parlimen Kota Melaka dan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya pada pilihan raya kelak.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia boleh dilakukan sekiranya semua pihak dalam Perikatan Nasional bekerjasama dengan baik dan menjaga muafakat yang telah terbentuk.

“Muafakat kita alhamdulillah, sebab tu Presiden banyak kali tekankan PAS tidak pernah khianat pada rakan muafakat politiknya. Apa-apa yang berlaku kita duduk, kita urus kita bincang bersama dan kita hadapi bersama.

“Sebab kemenangan kita kemenangan Perikatan Nasional. Maka kita tahu kekuatan yang kita ada. PAS di Melaka kita dah bertanding 15 kali pilihan raya. Kali pertama menang parlimen. Tak pernah kita berjaya menang parlimen (sebelum ini),” ujarnya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga mengegaskan bahawa dalam soal muafakat politik, semua pihak harus banyak duduk berbincang dan tidak membesarkan perkara remeh-temeh.

“Main bola memang kadang-kadang lekat kemuncup di stoking di baju di seluar kita. Memang kadang-kadang dia ganggu, gatal. Tapi jangan cabut kemuncup. Main dulu sampai habis perlawanan baru cabut kemuncup.

“Ini tengah main pergi cabut kemuncup. Bayangkan kalau penjaga gol duk sibuk cabut kemuncup?” kata beliau sewaktu berucap merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kota Melaka di sebuah hotel, di sini malam tadi.

Tambahnya, antara faktor yang menyumbang kepada kemenangan Perikatan Nasional pada PRU15 baru-baru ini ialah atas sokongan golongan muda dan ahli-ahli Umno yang kecewa dengan pimpinan parti mereka.

“Ini gelombang rakyat. Ahamdulillah kali pertama Melaka kita menang tiga Parlimen. Kita menang walaupun kita hanya ada dua kerusi di peringkat DUN. Tetapi sebenarnya siapa sangka tuan-tuan sekalian? Politik ini ia dinamik, ia boleh berlaku.

“Sebab sekarang ni apa hikmah? Sebab kita menang besar pilihan raya. Kita mendapat sokongan yang cukup pada masa itu, tapi Umno 10 orang tarik sokongan menyebabkan kita tak boleh jadi kerajaan,” katanya.

Beliau turut menitipkan pesanan agar semua amilin PAS menjaga hubungan dengan Allah SWT kerana kemenangan tidak akan dapat dicapai hanya dengan kekuatan sendiri sahaja.

“Sebab tu saya setuju apa yang disebut oleh YDP Kota Melaka tadi, tidak mustahil Kota Melaka ini walaupun ia menjadi kubu kuat DAP,  sebenarnya tidak mustahil (untuk dikalahkan).

“Berapa banyak kuasa besar yang secara logik akal tak pernah kalah, ia akan tumbang. Kalau tuan-tuan tak tengok (Soviet Union) Rusia, mana pernah fikir Rusia boleh boleh tumbang?” katanya.

Turut berucap di dalam majlis perasmian tersebut ialah Yang Dipertua PAS Kawasan, Ustaz Sudin Nooh.

Turut hadir ialah pimpinan tertinggi Perikatan Nasional dan PAS Negeri, antaranya Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail dan Pengerusi Perhubungan Perikatan Nasional Negeri, Dr Mohd Yadzil Yaakub.

Juga Pengerusi GERAKAN Melaka, Datuk Micheal Gan Peng Lam. – HARAKAHDAILY 2/6/2024

- Advertisement -